Isnin, 16 Januari 2012

LATIHAN KERJA RUMAH MASA CUTI SEMPENA SAMBUTAN TAHUN BAHARU CINA 2012

Untuk pelajar 5 Bestari, 5 Jed, 4 Bestari, dan 4 Mutiara

Huraikan pendapat anda tentang kesan negatif daripada kebanjiran kedatangan warga asing tanpa izin di negara ini. Panjang huraian anda tidak kurang daripada 350 patah perkataan.
Cadangan isi:
1. Berlakunya peningkatan jenayah
2. Pengangguran belia tempatan
3. Merebaknya penyakit berbahaya
4. Kesukaran mengawal kemasukan mereka

Isi- isi yang sesuai dan berkaitan dengan tajuk diterima.

Sila tulis latihan ini dalam buku latihan karangan yang telah ditetapkan. Hantar latihan ini pada 30/1/2012 sebelum jam 12.00 tengah hari.

Isnin, 9 Januari 2012

CORETAN RASA BUAT TEMAN 2012

Buat semua sahabatku, ramai yang bertanya tentang perkembangan diri ini...kusampaikan secebis madah buatmu teman setiaku "sama ada ulit mayang atau kuda kepang yang kutari di pentas ini..rentaknya tetap sama... menghibur orang di sekeliling; anak dan isteriku pelakonnya, murid dan rakan taulanku penontonnya...kutahu, jauh di sudut sana masih ada sahabat yang menontonnya dengan iringan air mata walaupun tarian ulit mayang dan kuda kepang rancak beradu di ruang sempit pentas bercahaya..."semoga kalian terus bahagia dengan persembahanku sebelum aku singgah memungut sisa yang tinggal di pentas sepi"

Rabu, 14 Disember 2011

MPMK: SATU PERTEMUAN HATI DAN MATA-MELAKA 2011

MPMK – Satu Pertemuan Hati dan Mata
D’Village Melaka 2011
Oleh: Ramli bin Yahya

Satu pertemuan hati dan mata
Satu memori indah
Bumi bertuah
Melaka bersejarah.

Hari ini
Telah menemukan satu pertemuan jauh dan dekat
Telah mendekatkan satu pertemuan yang rapat
Telah merapatkan satu perjalanan yang singkat
Telah menyingkatkan satu perjalanan
seribu kenangan silam
sejuta pengalaman terbentang

MPMK – Satu Pertemuan Hati dan Mata
Indah buat si teruna bertemu jodoh di situ
Indah buat sijejaka bermadu kasih di situ
Indah buat sidara berbual bicara di situ
Indah buat digadis dilamun cinta sejati di situ
Indah buat anak muda mengejar cita dan cinta

MPMK – Satu Pertemuan Hati dan Mata
Dari ruang legar kantin, menjamu selera
Dari ruang blok papan, menadah tinta
Dari ruang bilik pengetua, menitik kota janji
Dari ruang bilik pensyarah, melunas setia sekata
Dari Pintu Pagar, meneropong jauh merentas Selat Tebrau
Dari ruang Dewan Besar MPMK
kita berjanji mengukir sebuah arca jaya
dengan slogan hikmat
pendidikan untuk masyarakat

MPMK – Satu Pertemuan Hati dan Mata
Kita telah mengenal dunia ini bermula di sini
Kita telah seribu kali menapak juga bermula di sini
Kita telah menggapai impian murni juga bermula di sini
Kita telah menikmati kejayaan ini juga bermula di sini
Kita telah menyalakan obor pendidikan juga bermula di sini
Kita telah menjadi semakin dewasa sebenarnya juga bermula di sini

MPMK – Satu Pertemuan Hati dan Mata
Kami berhimpun semula di sini
Jauh dan dekat, utara dan selatan
Timur dan barat, pulau dan daratan
Mengikat satu janji satu ikatan
Merapat satu pertemuan satu harapan
Melunas rindu seribu kecintaan
Menabur sejuta pengalaman sejuta keikhlasan
Marilah kita,
Melangsaikan segala kenangan terpahat di hati
Pada pertemuan hati dan mata

Marilah kita,
Menadah doa buat teman yang pergi meninggalkan kita
Sendirian di saujana sana dengan iringan kalimah suci
Marilah kita,
Mengukirkan intan dan permata
buat teman yang masih setia bersama kita
mengeratkan silaturahim dalam satu gelungan kejap
untuk melangsai segala kenangan abadi di bumi tercinta ini
Marilah kita,
Kejapkan pertemuan hati dan mata
Dengan sebuah keakraban sejati
Buatmu MPMK-ku.

RAMLI BIN YAHYA
MUNSYI DEWAN, DBP
GURU CEMERLANG BM
SMK. SENGGARANG, BATU PAHAT.
http://ramlibinyahya.blogspot.com

Khamis, 25 Ogos 2011

SUDAH BERSEDIAKAH CALON UPSR, PMR, SPM, DAN STPM?.

Semua calon peperiksaan yang saya hormati,
Kehadiran bulan SEPTEMBER, OKTOBER, DAN NOVEMBER 2011 merupakan bulan yang cukup mencabar kekuatan mental, fizikal, dan emosi setiap calon peperiksaan di Malaysia. September untuk calon UPSR, bulan Oktober untuk calon PMR, dan bulan November untuk calon SPM dan STPM. Masa makin hampir untuk kita meneruskan perjuangan ini. Baki masa yang tinggal ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya demi mencapai satu kejayaan pada masa hadapan ini. Buatlah rujukan dan mengkaji soalan-soalan yang lepas sebagai langkah awal persediaan sebelum menduduki peperiksaan. Akseslah soalan percubaan dari negeri-negeri lain untuk menentukan paten atau bentuk soalan SPM 2011. Rancanglah pengurusan masa dengan sistematik untuk kita terus kekalkan momentun sebagai seorang pelajar yang cemerlang. Jangan lupa di bibir kita sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar diberikan ketenangan, kekuatan, dan kesihatan yang secukupnya untuk menghadapi rintangan yang bakal mendatang. Doa cikgu agar anda terus cemerlang dan sentiasa bersedia untuk menghadapi peperiksaan UPSR, PMR, SPM, dan STPM.

Selasa, 26 Julai 2011

RENUNGAN 27/7/2011

MASIH ADAKAH JALAN PULANG SETELAH KITA TERSANGKUT DI PERSIMPANGAN?
Pelajar-pelajarku yang bakal menduduki peperiksaan UPSR, PMR, SPM, dan STPM pada tahun ini...jalan masih berliku, masa yang tinggal sering berlalu begitu sahaja, buku di meja masih di situ tanpa diusik satu pun...sedangkan jadual waktu peperiksaan telahpun siap disusun satu-satu. Tapi kita masih begitu...sibuk dengan aktiviti tak menentu. Bilakah kita akan kembali untuk mendakap semula kekuatan jiwa dan minda ini? Marilah kita mengumpul semua masa yang lalu itu untuk kita gerakkan emosi, kita gerakkan minda, dan kita gerakkan fizikal untuk memulakan satu lagi langkah pertama pada bulan Ramadan ini dengan membuka helaian pertama al-Quran...dan diikuti helaian pertama nota pelajaran; doa cikgu semoga anda bahagia menerima kehadiran Ramadan dengan sesuci hati dan menjadikan Ramadan tahun ini sebagai satu laluan awal untuk mencari satu lagi petunjuk kecemerlangan diri. Terjemahkan kecemerlangan Ramadan yang sering diperkatakan dalam al-Quran sebenarnya boleh mencemerlangkan diri kita dalam apa-apa juga tindakan dan perbuatan kita. Selamat menyambut bulan Ramadan dan selamat mengulang kaji pelajaran sepanjang bulan Ramadan buat semua calon peperiksaan...ikhlas daripadaku buat semua putera dan puteriku.

Sabtu, 23 Julai 2011

ISTILAH 'PARADOKS' DALAM GAYA BAHASA

Assalamualaikum dan salam sejatera,
Tadi ketika aku menyampaikan satu ceramah teknik menjawab soalan Bahasa Melayu SPM 2011 di Institut Pendidikan Guru Tun Hussien Onn, Batu Pahat (23 JULAI 2011) jam 2.00 petang hingga 4.30 petang, seorang pelajar dari SMK. T6, Kluang, Johor telah bertanya maksud perkataan 'paradoks'. Aku tidak dapat menjawab maksud tersebut, aku meminta pertolongan daripada guru-guru yang sama-sama mendengar ceramahku.. Mereka juga tidak dapat memberikan maksud kata 'paradoks' itu. Aku memohon maaf kepada pelajar perempuan itu dan berjanji untuk memberikan jawapan makna 'paradoks' dalam tempoh 3 jam dari sekarang, dan jawapannya akan dimasukkan dalam blog aku. Setelah pulang ke rumah, aku terus mencari makna 'paradoks' daripada pelbagai sumber:
1. Kamus Dewan Edisi Keempat, DBP (2005:1139) - Paradoks ialah sesuatu yang bertentangan dengan pendapat yang diterima umum.
2. Memahami Istilah Sastera, Karya Bistari (Rahman Shaari,1985:70) - Paradoks ialah lebih mirip ironi. Sesuatu yang asing, iaitu yang kurang meyakinkan walaupun betul pengertiannya.
3. Kamus Puisi, DBP (2005:71) Paradoks ialah gaya bahasa yang hampir sama dengan ironi. bahasa yang digunakan bertentangan atau begitu asing dengan kenyataan sebenar meskipun maknanya betul. Contoh: "benci tetapi rindu"
*Ironi bermaksud satu gaya bahasa yang mana penggunaan bahasa yang maknanya bertentangan dengan kenyataan atau ketidaksesuaian antara harapan dengan kenyataan. Contohnya: "air mata kegembiraan"

Terima kasih.

Isnin, 27 Jun 2011

TEMA PENTING SPM 2011

TEMA PENTING SEBAGAI PERSEDIAAN MENGHADAPI PEPERIKSAAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA 2011


1. Kepentingan aktiviti kokurikulum dan cara menggalakkan pelajar menyertai aktiviti berkenaan.
2. Faedah yang diperoleh apabila kita menjalani aktiviti bersukan
3. Kepentingan aktiviti perkhemahan
4. Peranan anda dalam menjayakan kempen amalan membaca
5. Peranan keluarga dalam menjayakan amalan menabung
6. Langkah-langkah yang boleh dijalankan untuk mengekalkan perpaduan kaum di negara ini dan kepentingannya
7. Cara-cara untuk membalas jasa guru anda
8. Cara-cara untuk membalas jasa ibu bapa anda
9. Cara-cara menghargai tokoh pemimpin yang anda sanjungi
10. Perkara-perkara yang perlu anda lakukan untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang
Panduan:
• Sila cari maklumat lengkap tema di atas daripada majalah, akhbar, buletin, atau laman sesawang dan bincangkan tema ini bersama-sama rakan anda di bilik darjah.
• Kemukakan setiap isi penting daripada tema di atas dan sertakan contoh yang sesuai.
• Kenal pasti peribahasa yang sesuai bagi setiap isi yang anda cari
• Buatlah sebuah karangan yang lengkap mengikut kehendak soalan SPM
Selamat mencuba. Cikgu doakan anda akan berjaya dalam peperiksaan SPM 2011 dengan cemerlang. Pastikan satu A+ datang daripada subjek Bahasa Melayu. Sekian, terima kasih.