Selasa, 26 Julai 2011

RENUNGAN 27/7/2011

MASIH ADAKAH JALAN PULANG SETELAH KITA TERSANGKUT DI PERSIMPANGAN?
Pelajar-pelajarku yang bakal menduduki peperiksaan UPSR, PMR, SPM, dan STPM pada tahun ini...jalan masih berliku, masa yang tinggal sering berlalu begitu sahaja, buku di meja masih di situ tanpa diusik satu pun...sedangkan jadual waktu peperiksaan telahpun siap disusun satu-satu. Tapi kita masih begitu...sibuk dengan aktiviti tak menentu. Bilakah kita akan kembali untuk mendakap semula kekuatan jiwa dan minda ini? Marilah kita mengumpul semua masa yang lalu itu untuk kita gerakkan emosi, kita gerakkan minda, dan kita gerakkan fizikal untuk memulakan satu lagi langkah pertama pada bulan Ramadan ini dengan membuka helaian pertama al-Quran...dan diikuti helaian pertama nota pelajaran; doa cikgu semoga anda bahagia menerima kehadiran Ramadan dengan sesuci hati dan menjadikan Ramadan tahun ini sebagai satu laluan awal untuk mencari satu lagi petunjuk kecemerlangan diri. Terjemahkan kecemerlangan Ramadan yang sering diperkatakan dalam al-Quran sebenarnya boleh mencemerlangkan diri kita dalam apa-apa juga tindakan dan perbuatan kita. Selamat menyambut bulan Ramadan dan selamat mengulang kaji pelajaran sepanjang bulan Ramadan buat semua calon peperiksaan...ikhlas daripadaku buat semua putera dan puteriku.

Sabtu, 23 Julai 2011

ISTILAH 'PARADOKS' DALAM GAYA BAHASA

Assalamualaikum dan salam sejatera,
Tadi ketika aku menyampaikan satu ceramah teknik menjawab soalan Bahasa Melayu SPM 2011 di Institut Pendidikan Guru Tun Hussien Onn, Batu Pahat (23 JULAI 2011) jam 2.00 petang hingga 4.30 petang, seorang pelajar dari SMK. T6, Kluang, Johor telah bertanya maksud perkataan 'paradoks'. Aku tidak dapat menjawab maksud tersebut, aku meminta pertolongan daripada guru-guru yang sama-sama mendengar ceramahku.. Mereka juga tidak dapat memberikan maksud kata 'paradoks' itu. Aku memohon maaf kepada pelajar perempuan itu dan berjanji untuk memberikan jawapan makna 'paradoks' dalam tempoh 3 jam dari sekarang, dan jawapannya akan dimasukkan dalam blog aku. Setelah pulang ke rumah, aku terus mencari makna 'paradoks' daripada pelbagai sumber:
1. Kamus Dewan Edisi Keempat, DBP (2005:1139) - Paradoks ialah sesuatu yang bertentangan dengan pendapat yang diterima umum.
2. Memahami Istilah Sastera, Karya Bistari (Rahman Shaari,1985:70) - Paradoks ialah lebih mirip ironi. Sesuatu yang asing, iaitu yang kurang meyakinkan walaupun betul pengertiannya.
3. Kamus Puisi, DBP (2005:71) Paradoks ialah gaya bahasa yang hampir sama dengan ironi. bahasa yang digunakan bertentangan atau begitu asing dengan kenyataan sebenar meskipun maknanya betul. Contoh: "benci tetapi rindu"
*Ironi bermaksud satu gaya bahasa yang mana penggunaan bahasa yang maknanya bertentangan dengan kenyataan atau ketidaksesuaian antara harapan dengan kenyataan. Contohnya: "air mata kegembiraan"

Terima kasih.