Sabtu, 10 Julai 2010

MALAM GURU JUARA RAKYAT 2010

Malam tadi (10.07.2010) malam yang sangat menggembirakan hatiku setelah diumumkan sebagai penerima anugerah Guru Berprestasi Tinggi di SK Parit Bilal, Batu Pahat. Anugerah julung kali diperkenalkan ini telah disampaikan oleh YB. Dr. Mohd. Puad bin Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Haji Supaat bin Tumin, Pengarah Pelajaran Johor, Haji Shafie bin Mohd. Sharif, Pegawai Pelajaran Daerah Batu Pahat, ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Parlimen Batu Pahat (Dun Senggarang, DUN Rengit, dan DUN Penggaram). Anugerah ini merupakan satu penghormatan tertinggi kepadaku setelah berkecimpung dalam dunia pendidikan sebagai guru sekolah rendah, sekolah menengah, dan guru prauniversiti. Kejayaan ini telah meningkatkan semangatku untuk menyumbangkan tenaga demi mencapai kecemerlangan pendidikan anak bangsa di sekolah, daerah, dan negeri. Aku juga ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan sekerja yang telah memberikan sokongan dan dorongan. Kejayaan ini bukan milikku seorang, kejayaan ini adalah milik kita semua yang masih mencari ramuan terbaik untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan anak-anak bangsa di persada. Hadiah sebuah notebook ACER ASPIRE 4741Z dan Sijil Penghargaan yang telah disampaikan oleh YB Dr. Mohd Puad bin Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada malam tadi telah memberikan aspirasi baharu kepadaku untuk melangkah lebih laju dan melonjak lebih tinggi agar kecemerlangan kita dalam akademik di peringkat DUN, sekolah, dan negeri tertunai tanpa mengurangkan kecemerlangan sahsiah anak bangsa. Terima kasih tuhan, terima kasih semua. Inilah, Memorabilia satu lagi memorabilia yang tercatat dalam sejarah hidupku di bumi yang bertarikan tarian kuda kepang.