Rabu, 14 Disember 2011

MPMK: SATU PERTEMUAN HATI DAN MATA-MELAKA 2011

MPMK – Satu Pertemuan Hati dan Mata
D’Village Melaka 2011
Oleh: Ramli bin Yahya

Satu pertemuan hati dan mata
Satu memori indah
Bumi bertuah
Melaka bersejarah.

Hari ini
Telah menemukan satu pertemuan jauh dan dekat
Telah mendekatkan satu pertemuan yang rapat
Telah merapatkan satu perjalanan yang singkat
Telah menyingkatkan satu perjalanan
seribu kenangan silam
sejuta pengalaman terbentang

MPMK – Satu Pertemuan Hati dan Mata
Indah buat si teruna bertemu jodoh di situ
Indah buat sijejaka bermadu kasih di situ
Indah buat sidara berbual bicara di situ
Indah buat digadis dilamun cinta sejati di situ
Indah buat anak muda mengejar cita dan cinta

MPMK – Satu Pertemuan Hati dan Mata
Dari ruang legar kantin, menjamu selera
Dari ruang blok papan, menadah tinta
Dari ruang bilik pengetua, menitik kota janji
Dari ruang bilik pensyarah, melunas setia sekata
Dari Pintu Pagar, meneropong jauh merentas Selat Tebrau
Dari ruang Dewan Besar MPMK
kita berjanji mengukir sebuah arca jaya
dengan slogan hikmat
pendidikan untuk masyarakat

MPMK – Satu Pertemuan Hati dan Mata
Kita telah mengenal dunia ini bermula di sini
Kita telah seribu kali menapak juga bermula di sini
Kita telah menggapai impian murni juga bermula di sini
Kita telah menikmati kejayaan ini juga bermula di sini
Kita telah menyalakan obor pendidikan juga bermula di sini
Kita telah menjadi semakin dewasa sebenarnya juga bermula di sini

MPMK – Satu Pertemuan Hati dan Mata
Kami berhimpun semula di sini
Jauh dan dekat, utara dan selatan
Timur dan barat, pulau dan daratan
Mengikat satu janji satu ikatan
Merapat satu pertemuan satu harapan
Melunas rindu seribu kecintaan
Menabur sejuta pengalaman sejuta keikhlasan
Marilah kita,
Melangsaikan segala kenangan terpahat di hati
Pada pertemuan hati dan mata

Marilah kita,
Menadah doa buat teman yang pergi meninggalkan kita
Sendirian di saujana sana dengan iringan kalimah suci
Marilah kita,
Mengukirkan intan dan permata
buat teman yang masih setia bersama kita
mengeratkan silaturahim dalam satu gelungan kejap
untuk melangsai segala kenangan abadi di bumi tercinta ini
Marilah kita,
Kejapkan pertemuan hati dan mata
Dengan sebuah keakraban sejati
Buatmu MPMK-ku.

RAMLI BIN YAHYA
MUNSYI DEWAN, DBP
GURU CEMERLANG BM
SMK. SENGGARANG, BATU PAHAT.
http://ramlibinyahya.blogspot.com

Khamis, 25 Ogos 2011

SUDAH BERSEDIAKAH CALON UPSR, PMR, SPM, DAN STPM?.

Semua calon peperiksaan yang saya hormati,
Kehadiran bulan SEPTEMBER, OKTOBER, DAN NOVEMBER 2011 merupakan bulan yang cukup mencabar kekuatan mental, fizikal, dan emosi setiap calon peperiksaan di Malaysia. September untuk calon UPSR, bulan Oktober untuk calon PMR, dan bulan November untuk calon SPM dan STPM. Masa makin hampir untuk kita meneruskan perjuangan ini. Baki masa yang tinggal ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya demi mencapai satu kejayaan pada masa hadapan ini. Buatlah rujukan dan mengkaji soalan-soalan yang lepas sebagai langkah awal persediaan sebelum menduduki peperiksaan. Akseslah soalan percubaan dari negeri-negeri lain untuk menentukan paten atau bentuk soalan SPM 2011. Rancanglah pengurusan masa dengan sistematik untuk kita terus kekalkan momentun sebagai seorang pelajar yang cemerlang. Jangan lupa di bibir kita sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar diberikan ketenangan, kekuatan, dan kesihatan yang secukupnya untuk menghadapi rintangan yang bakal mendatang. Doa cikgu agar anda terus cemerlang dan sentiasa bersedia untuk menghadapi peperiksaan UPSR, PMR, SPM, dan STPM.

Selasa, 26 Julai 2011

RENUNGAN 27/7/2011

MASIH ADAKAH JALAN PULANG SETELAH KITA TERSANGKUT DI PERSIMPANGAN?
Pelajar-pelajarku yang bakal menduduki peperiksaan UPSR, PMR, SPM, dan STPM pada tahun ini...jalan masih berliku, masa yang tinggal sering berlalu begitu sahaja, buku di meja masih di situ tanpa diusik satu pun...sedangkan jadual waktu peperiksaan telahpun siap disusun satu-satu. Tapi kita masih begitu...sibuk dengan aktiviti tak menentu. Bilakah kita akan kembali untuk mendakap semula kekuatan jiwa dan minda ini? Marilah kita mengumpul semua masa yang lalu itu untuk kita gerakkan emosi, kita gerakkan minda, dan kita gerakkan fizikal untuk memulakan satu lagi langkah pertama pada bulan Ramadan ini dengan membuka helaian pertama al-Quran...dan diikuti helaian pertama nota pelajaran; doa cikgu semoga anda bahagia menerima kehadiran Ramadan dengan sesuci hati dan menjadikan Ramadan tahun ini sebagai satu laluan awal untuk mencari satu lagi petunjuk kecemerlangan diri. Terjemahkan kecemerlangan Ramadan yang sering diperkatakan dalam al-Quran sebenarnya boleh mencemerlangkan diri kita dalam apa-apa juga tindakan dan perbuatan kita. Selamat menyambut bulan Ramadan dan selamat mengulang kaji pelajaran sepanjang bulan Ramadan buat semua calon peperiksaan...ikhlas daripadaku buat semua putera dan puteriku.

Sabtu, 23 Julai 2011

ISTILAH 'PARADOKS' DALAM GAYA BAHASA

Assalamualaikum dan salam sejatera,
Tadi ketika aku menyampaikan satu ceramah teknik menjawab soalan Bahasa Melayu SPM 2011 di Institut Pendidikan Guru Tun Hussien Onn, Batu Pahat (23 JULAI 2011) jam 2.00 petang hingga 4.30 petang, seorang pelajar dari SMK. T6, Kluang, Johor telah bertanya maksud perkataan 'paradoks'. Aku tidak dapat menjawab maksud tersebut, aku meminta pertolongan daripada guru-guru yang sama-sama mendengar ceramahku.. Mereka juga tidak dapat memberikan maksud kata 'paradoks' itu. Aku memohon maaf kepada pelajar perempuan itu dan berjanji untuk memberikan jawapan makna 'paradoks' dalam tempoh 3 jam dari sekarang, dan jawapannya akan dimasukkan dalam blog aku. Setelah pulang ke rumah, aku terus mencari makna 'paradoks' daripada pelbagai sumber:
1. Kamus Dewan Edisi Keempat, DBP (2005:1139) - Paradoks ialah sesuatu yang bertentangan dengan pendapat yang diterima umum.
2. Memahami Istilah Sastera, Karya Bistari (Rahman Shaari,1985:70) - Paradoks ialah lebih mirip ironi. Sesuatu yang asing, iaitu yang kurang meyakinkan walaupun betul pengertiannya.
3. Kamus Puisi, DBP (2005:71) Paradoks ialah gaya bahasa yang hampir sama dengan ironi. bahasa yang digunakan bertentangan atau begitu asing dengan kenyataan sebenar meskipun maknanya betul. Contoh: "benci tetapi rindu"
*Ironi bermaksud satu gaya bahasa yang mana penggunaan bahasa yang maknanya bertentangan dengan kenyataan atau ketidaksesuaian antara harapan dengan kenyataan. Contohnya: "air mata kegembiraan"

Terima kasih.

Isnin, 27 Jun 2011

TEMA PENTING SPM 2011

TEMA PENTING SEBAGAI PERSEDIAAN MENGHADAPI PEPERIKSAAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA 2011


1. Kepentingan aktiviti kokurikulum dan cara menggalakkan pelajar menyertai aktiviti berkenaan.
2. Faedah yang diperoleh apabila kita menjalani aktiviti bersukan
3. Kepentingan aktiviti perkhemahan
4. Peranan anda dalam menjayakan kempen amalan membaca
5. Peranan keluarga dalam menjayakan amalan menabung
6. Langkah-langkah yang boleh dijalankan untuk mengekalkan perpaduan kaum di negara ini dan kepentingannya
7. Cara-cara untuk membalas jasa guru anda
8. Cara-cara untuk membalas jasa ibu bapa anda
9. Cara-cara menghargai tokoh pemimpin yang anda sanjungi
10. Perkara-perkara yang perlu anda lakukan untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang
Panduan:
• Sila cari maklumat lengkap tema di atas daripada majalah, akhbar, buletin, atau laman sesawang dan bincangkan tema ini bersama-sama rakan anda di bilik darjah.
• Kemukakan setiap isi penting daripada tema di atas dan sertakan contoh yang sesuai.
• Kenal pasti peribahasa yang sesuai bagi setiap isi yang anda cari
• Buatlah sebuah karangan yang lengkap mengikut kehendak soalan SPM
Selamat mencuba. Cikgu doakan anda akan berjaya dalam peperiksaan SPM 2011 dengan cemerlang. Pastikan satu A+ datang daripada subjek Bahasa Melayu. Sekian, terima kasih.

Jumaat, 13 Mei 2011

SELAMAT HARI GURU 2011 : BUAT SEMUA GURUKU

Salam sejahtera buat teman yang bergelar guru;



16 MEI 2011 saya di beri peluang sekali lagi untuk mendeklamasikan sajak. Kali ini agak berbeza sedikit situasinya. Saya akan menyampaikan sajak ini di SMK. Banang Jaya, Batu Pahat sempena sambutan hari guru peringkat sekolah. Buat teman seperjuangan dan buat anak didik SMK. Banang Jaya, kugagahi dan kutunaikan hasrat ini demi cinta dan sayangku pada SMK. Banang Jaya. Sajak Obor Hemah karya Sasterawan Negara A. Samad Said akan saya deklamasikan pada hari tersebut.


OBOR HEMAH

Guru adalah awan indah terbang rendah,
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara ihsan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru - atap ganti ketika pondok bocor,
ketika sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara,
ia - sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara dharma,
memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun,
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,
ia mengemudi biduk, melepaskannya,
atas lambungan laut, merangsangkan
manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru - minda segar dan kukuh akar,
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih,
dan pada ketika tak tersangkakan,
walau diambilnya kemball semua buku,
sempat ditinggalkan asas i1mu.

Guru
adalah batin suci hatinurani,
Guru
penjunjung budi, manusia yang takwa,
Guru
obor hemah kehidupan bangsa.

A. SAMAD SAID
2 APRIL 1988

Selasa, 10 Mei 2011

BENTUK PENULISAN KATA MAJMUK YANG TELAH MANTAP

Rakan-rakan pengguna bahasa Melayu,
Di sini saya sertakan senarai kata majmuk yang telah mantap dan dieja secara bercantun:
1. antarabangsa
2. beritahu
3. bumiputera
4. jawatankuasa
5. kakitangan
6. olahraga
7. matahari
8. setiausaha
9. sukarela
10. suruhanjaya (maaf...sebelum ini ejaan ini dieja salah "suruhajaya"
11. tandatangan
12. tanggungawab
13. warganeara
14. pesuruhjaya
15. kerjasama

Semua kata majmuk di atas merupakan kata nama majmuk kecuali perkataan beritahu yang merupakan kata kerja majmuk.

Walau bagaimanapun, terdapat sejumlah perkataan yang tergolong dalam golongan kata tertentu yang lazimnya dieja bercantum:

Kata nama:
peribadi, peribahasa, hulubalang, dinihari, perikemanusaan

Kata adjektif:
sukacita, dukacta

Kata sendi nama:
kepada, daripada

Kata hubung
apabila, manakala, padahal, apakala, walhal, darihal, barangkali, kadangkala

kata tanya:
bagaimana

Selasa, 26 April 2011

UJI MINDA: LATIHAN TATABAHASA

(LATIHAN EJAAN)

LATIHAN 1: MENGESAN KESALAHAN KATA ATAU FRASA DALAM AYAT

1. Kereta yang baru di beli oleh kami itu sangat mahal sekali harganya kerana ianya diimport daripada Jepun.

2. Aiman mendapat keputusan cemerlang dalam matapelajaran Bahasa Melayu dan dia telah dilantik sebagai ahli jawatan kuasa Persatuan Bahasa Melayu disekolahnya.

3. Terdapat banyak usaha-usaha yang mereka lakukan untuk memperluaskan penggunaan Bahasa Melayu di kalangan penduduk dinegara ini sejak malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 OGOS 1957.

4. Mesyuarat agong P.I.B.G kali ke 31 akan dijalankan serentak dengan majlis perasmian SUKMA kali ke-X yang berlangsung dinegeri Terengganu Darul Iman.

5. Calun-calun peperiksaan yang datang dari seluruh pelusuk negara ini dikehendaki datang lebih awal untuk mengenalpasti kedudukan mejanya didalam dewan peperiksaan.

6. Bila cuti sekolah bermula kebanyakkan pelajar telah membuat perancangan untuk melancung keluar negeri.

7. Pertandingan Bolasepak Bawah 15 Tahun kali ke XIV itu telah dihadiri kedua pemimpin negara itu.

8. Penolong Pegawai Pendidikan-Penolong Pegawai Pendidikan seluruh tanahair itu telah menyampaikan taklimatnya.

9. Injin motosikal yang diubah suai oleh juru teknik syarikat itu telah diistiharkan sebagai pemenang tempat ke-2.

10. Semua buku-buku latihan yang telah dicop oleh kami telah dihantar kepada sebilangan pelajar-pelajar di dalam kelas hari ini.

11. Peserta daripada Malaysia telah dipilih menyertai pertandingan rekacipta peringkat antara bangsa melalui e-mail yang dikirim pagi semalam.

12. Di akhir pengajaran dan pembelajaran ini, semua pelajar dapat menjawab 8 daripada 10 soalan yang di kemukakan dengan tepat berdasarkan.

Selamat Maju Jaya.

Rabu, 30 Mac 2011

PENGORBANAN DEMI SEBUAH KEJAYAAN

Petang tadi 30/3/2011 jam 2.30 petang aku menerima sekeping surat rasmi dari PPD Batu Pahat. Aku ditukarkan sementara ke SMK. Banang Jaya, Batu Pahat bermula 31/3/2011 hingga 26/5/2011 (lebih kurang dua bulan). Satu pembaharuan idea yang sangat menarik dan berani telah dilakukan oleh Tuan PPD Batu Pahat. Dah lama aku mendengar idea ini, baru kini dapat diterjemahkan. Aku bangga menjadi orang pertama terpilih dalam program penempatan sementara ini. Tugas aku mudah, menjadi tenaga pengajar di sekolah itu dan membantu guru-guru di SMKBJ menjayakan program peningkatan akademik, khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Terima kasih Pengetua SMK. Senggarang membenarkan aku bergerak sementara ke SMK. Banang Jaya dan terima kasih Pengetua SMK Banang Jaya kerana sudi menerimaku untuk menjadi warga SMKBJ walaupun untuk seketika. Masih banyak ruang dan peluang yang perlu dilakukan demi mencari sebuah kejayaan yang akan terhasil melalui pengorbanan masa, tenaga, dan emosi. Aku pasti akan berusaha lebih gigih untuk memenuhi cita-cita murni demi pendidikan di Batu Pahat.

Selasa, 1 Mac 2011

KERJA RUMAH MASA CUTI PADA 12/3 HINGGA 19/3

KEPADA SEMUA PELAJAR 5 BESTARI, 5 CEMERLANG, 5 INTAN, DAN 5 MUTIARA SMK. SENGGARANG, BATU PAHAT...Di bawah ini disertakan DUA soalan kerja rumah masa cuti.

Soalan 1: Soalan karangan bahagian B (lebih daripada 350 patah perkataan)

Alam sekitar yang bersih dapat menjamin kesihatan kita. Bincangkan peranan anda.


Soalan 2: Soalan Kajian Novel

Berdasarkan novel Melunas Rindu (tingkatan empat) dan Kabus di Perbukitan (tingkatan lima)
a. Jelaskan lima peristiwa yang menunjukkan nilai kasih sayang watak utama dalam kedua-dua novel di atas (8 markah)

b. Pengarang telah memaparkan semangat ketabahan dan kegigihan dalam diri watak utama kedua-dua novel ini. Jelaskan lima peristiwa yang menunjukkan watak utama tabah dan gigih menghadapi rintangan dalam setiap novel yang anda kaji (7 markah)


Sila hantar kerja rumah ini kepada Encik Ramli bin Yahya pada 21/3/2011 sebelum pukul 12.00 tengah hari di Bilik Info-BM, SMK. Senggarang, Batu Pahat.

SOALAN BM KERTAS 1 BAHAGIAN B SPM 2010

Pilih SATU daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya LEBIH DARIPADA 350 PATAH PERKATAAN.
1. Anda telah dilantik sebagai pngawas sekolah. Sebagai pengawas, bincagkan peranan anda untuk membantu pihak sekolah membentuk murid yng berdisiplin.
2. "Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu." Situasi seperti yang di atas seharusnya tidak berlaku dalam sesebua masyarakat. Jelaskan tanggungjawab yang sepatutnya dlaksanakan oleh anak-anak terhadap ibu bapa.
3. Negaraku,
Tanah tumpahnya darahku
Rakyat hidup bersatu dan maju
Rahmat bahagia Tuhn kurniakan
Raja kita selamat bertakhta.
Lirik lagu Negarku di atas antaranya menyentuh soal perpaduan, ksyukuran dan taat setia rakyat kepada taja dan negara.
Huraikan peranan setiap rakyat Malaysia dalamd enjamin kesejahteraan negara sebagaimana yang dihasratkan dalam lirik tersebut.
4. Penyakit berjangkit seperti selesema burung, influenza A (H1N1) dan meningitis atau radang otak telah menjadi isu global.
Huraikan langkah-langkah yang perlu diambil oleh negara-negara di dunia untuk menangani wabak penyakit tersebut.
5. Peribahasa "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan" membawa maksud bahawa jika ada azam dan usaha, pasti ada kejayaan.
Tulis sbuah cerpen berdasarkan maksud peribahasa tersebut.

Isnin, 7 Februari 2011

SATU PENDEKATAN KOMUNIKATIF DALAM PENGAJARAN KARANGAN BERFORMAT: SATU CADANGAN

Assalamualaikum cikgu Mazlan bin Mat, dari salah sebuah sekolah di daerah Marang, Terengganu...
Saya juga tidak jelas tentang 2 perkara dalam soalan yang dikemukakan melalui e-mel cikgu, tetapi saya cuba memperjelas berdasarkan andaian saya:
1. Pengajaran tatabahasa wacana...mungkin merujuk penggunaan wacana dan jenis-jenisnya.
2. Penulisan karangan berformat umum...mungkin merujuk karangan yang memerlukan format (surat kiriman rasmi, surat kiriman tidak rasmi, wawancara, laporan, berita, ucapan, perbahasan, dll)

Itu andaian saya sahaja...saya memohon maaf jika salah tanggapan ini.

Jika wacana yang dicari, saya mencadangkan cikgu membaca buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008:524-529) DBP. Maksud wacana dan 5 jenis wacana yang boleh digunakan dalam apa-apa juga penulisan sama ada di sekolah rendah atau sekolah menengah.

Tentang penulisan karangan berformat itu, cikgu pilihlah yang mana satu cadangan di atas tu. jika cikgu memilih ucapan...saya mencadangkan penggunaan pendekatan komunikatif supaya pelajar pelbagai kumpulan boleh menghasilkan tugasan ini.

Contoh:
Andaikan satu kelas ada 36 orang pelajar...pecahkan kepada 6 kumpulan...setiap kumpulan ada pelajar pandai, pelajar sederhana, dan pelajar lemah. Tajuknya ialah Langkah-langkah untuk membanteras jenayah di negara kita. Minta pendapat pelajar dan bimbing 3 langkah untuk membanteras jenayah...catat dalam peta minda di papan hitam atau LCD. Terima jawapan jika lebih daripada 3 langkah

1.Bincangkan tugasan yang perlu diberikan secara kelas.
2.Sediakan 6 sampul tugasan yang berbeza-beza soalan:
K1: Andaikan anda sebagai Ketua Polis Daerah. Anda diminta untuk menyampaikan ucapan tentang Langkah-langkah Mengurangkan Jenayah di Negara Kita. Tetamu yang hadir dalam majlis ini ialah, Pengetua, Pengerusi PIBG, guru-guru, dan pelajar. (Sila tulis ucapan alu-aluan yang sesuai)...pelajar diminta menulis ucapan alu-aluan dalam kertas mahjong atau taip dalam lap top...ikut kreativiti cikgu.Bimbing penggunaan wacana dalam hasil penulisan pelajar.
K2: Andaikan anda sebagai Ketua Polis Daerah. Anda diminta untuk menyampaikan ucapan tentang Langkah-langkah Mengurangkan Jenayah di Negara Kita. Pelajar diminta mengolah isi satu (Contoh: Pihak polis perlu memantau kawasan yang lebih kerap berlaku jenayah) dalam kertas mahjong atau taip dalam lap top...ikut kreativiti cikgu. Bimbing penggunaan wacana dalam hasil penulisan pelajar
K3: Andaikan anda sebagai Ketua Polis Daerah. Anda diminta untuk menyampaikan ucapan tentang Langkah-langkah Mengurangkan Jenayah di Negara Kita. Pelajat diminta mengolah isi dua (Contoh:Pihak berkuasa perlu memasang lebih banyak CCTV (Kamera Litar Tertutup)dalam kertas mahjong atau taip dalam lap top...ikut kreativiti cikgu. Bimbing penggunaan penanda wacana dalam hasil penulisan pelajar.
K4: Andaikan anda sebagai Ketua Polis Daerah. Anda diminta untuk menyampaikan ucapan tentang Langkah-langkah Mengurangkan Jenayah di Negara Kita. Pelajar mengolah isi tiga (memperbanyak aktiviti masyarakat untuk mengurangkan jenayah) dalam kertas mahjong atau taip dalam lap top...ikut kreativiti cikgu. Bimbing penggunaan wacana dalam hasil penulisan pelajar.
K5: Andaikan anda sebagai Ketua Polis Daerah. Anda diminta untuk menyampaikan ucapan tentang Langkah-langkah Mengurangkan Jenayah di Negara Kita. Pelajar diminta mengolah isi empat (Contoh:Pihak kerajaan perlu mengenakan hukuman yang lebih berat kepada penjenayah) dalam kertas mahjong atau taip dalam lap top...ikut kreativiti cikgu. Bimbing penggunaan wacana dalam hasil penulisan pelajar.
K6: K1: Andaikan anda sebagai Ketua Polis Daerah. Anda diminta untuk menyampaikan ucapan tentang Langkah-langkah Mengurangkan Jenayah di Negara Kita. Tetamu yang hadir dalam majlis ini ialah, Pengetua, Pengerusi PIBG, guru-guru, dan pelajar. (Sila tulis penutup yang sesuai)...pelajar diminta menulis penutup dan masukkan pantun yang sesuai dalam kertas mahjong atau taip dalam lap top...ikut kreativiti cikgu. Bimbing penggunaan wacana dalam penulisan pelajar.

Selepas aktiviti menulis dalam kumpulan, setiap wakil kumpulan akan bergerak:

Seorang ahli K1 pergi K2 untuk mengambil maklumat hasil penulisan, K2 ke K3, K3 ke K4, K4 ke K5, K5 ke K6, K6 ke K1 (setiap ahli dalam kumpulan masing-masing ke berada di setiap kumpulan dalam kelas untuk mendapat semua maklumat yang ditulis dalam kertas mahjong)...wakil ini akan membentangkan hasil kumpulan lain dalam kumpulan sendiri dan mencantumkan maklumat yang diperoleh...berlakunya komunikasi antara ahli kumpulan dgn ahli kumpulan lain.

Secara ringkasnya: semua pelajar dapat menyediakan satu ucapan yang lengkap hasil perkongsian maklumat tadi dan berlakunya komunikasi beberapa hala: pelajar dgn pelajar, pelajar dgn guru, pelajar dgn bahan. Adanya pembentangan lisan dan bilik darjah oleh pelajar dan penerangan guru. Adanya aktiviti menulis yang dilakukan oleh pelajar. Guru sebagai fasilitator.

Jika perlukan maklumat lanjut sila hubungi saya: cikgu Ramli 0137242909

Isnin, 24 Januari 2011

KERJA RUMAH MASA CUTI TAHUN BAHARU CINA 2011

Kepada semua pelajar 5 Bestari, 5 Cemerlang, 5 Intan, dan 5 Mutiara, SMK. Senggarang 2011.

Soalan Kajian Novel:

Berdasarkan novel Melunas Rindu dan Kabus di Perbukitan, jawab dua soalan di bawah:
1. Huraikan tema dan persoalan yang terdapat dalam kedua-dua novel yang anda kaji. (7 markah)
2. Kemukakan TIGA nilai dan TIGA pengajaran yang terdapat dalam kedua-dua buah novel yang anda kaji serta buktinya. (8 markah)
*Sila tulis latihan ini dengan lengkap dalam buku latihan Pemahaman Komsas dan Kajian Novel
*Sila hantar latihan yang telah lengkap ke meja saya di bilik PIBM (Pusat Info-BM) pada 7.2.2011 sebelum pukul 12.00 tengah hari.
Sekian, terima kasih.
Jika anda menghadapi masalah sila hubungi saya dengan segera: 0137242909