Jumaat, 3 Julai 2009

TAHUN MELAWAT MALAYSIA


Pesta Flora Jamu mata anda dengan pertunjukan flora dan fauna yang mempesona! Kota raya ini menjelma seakan taman yang indah dipenuhi bunga-bungaan berwarna-warni. Dengan tema ‘Warna-warna Harmoni’, acara ini merupakan pengalaman yang menyeronokkan untuk para peserta mahu pun pelawat. Acara kemuncak merupakan Perarakan Bunga yang memaparkan kereta berhias yang indah dari seluruh Malaysia dan negara jiran. Pelbagai acara sampingan seperti bazar jualan, pertandingan, pameran, serta bengkel juga turut diadakan.

Pesta Air Bulan Pesta Air yang disambut setiap tahun dipenuhi pelbagai aktiviti yang menyeronokkan. Peminat aktiviti sukan air berpeluang menikmati aktiviti seperti luncur air, berkayak, lumba kenu dan sebagainya serta pertandingan berunsur air yang lain di sepanjang pesta yang berlangsung selama satu bulan di seluruh negara.

Warna-warna Malaysia Acara yang memikat hati ini memaparkan persembahan kebudayaan, kraf dan makanan yang terhebat di Malaysia. Saksikan perarakan yang penuh berwarna-warni, serta pertunjukan tarian dan muzik; rasai keenakkan juadah tempatan di pesta makanan dan lawati pameran kebudayaan yang menarik di seluruh negara.

Pesta Makanan dan Buah-Buahan Pesta Makanan dan Buah-Buahan disambut di seluruh negara bagi meraikan kepelbagaian rasa dan gaya makanan Malaysia. Bermacam-macam pilihan rasa dan perisa yang mencerminkan pengaruh pelbagai kaum dan kumpulan etnik negara ini menanti anda. Penduduk tempatan dan pelawat asing dijamu dengan pelbagai pilihan makanan Asia dan masakan antarabangsa, serta berbagai-bagai jenis buah-buahan iklim tropika dan iklim sederhana.

Karnival Jualan Hujung Tahun Malaysia Rebut peluang menikmati diskaun menarik dan tawaran istimewa di sepanjang karnival jualan tahunan Malaysia yang hebat ini! Dari barangan berjenama, hinggalah ke barangan elektronik, kosmetik dan kasut, pasti ada sesuatu untuk semua di pusat membeli-belah serta kedai di seluruh negara.

Pertandingan Bunga Api Antarabangsa Malaysia (MIFC) Acara ini mempersembahkan panorama yang mengagumkan dari Jambatan Seri Gemilang di tasik Putrajaya. Di MIFC, pasukan bunga api antarabangsa dari serata dunia berkumpul di Malaysia untuk bertanding di dalam salah satu Pertandingan Bunga Api yang terunggul di dunia. Pertandingan bunga api ini jauh lebih mempesona daripada pertunjukan bunga api yang biasa anda saksikan.

Pesta Gourmet Antarabangsa Malaysia Pesta Gourmet Antarabangsa Malaysia merupakan pentas utama bagi Malaysia menonjolkan pilihan pelbagai gaya makanan antarabangsa. Acara ini mendokong aspirasi kerajaan untuk mempromosikan Malaysia sebagai Dapur Asia Sebenar - gabungan yang terbaik dari gaya masakan Barat, Asia dan Malaysia. Selama hampir sebulan, restoran-restoran ternama di Malaysia mempersembahkan menu, tawaran, serta acara yang hebat.

Perlumbaan A1 Grand Prix Malaysia (Grand Prix of Nations) A1GP merupakan teraju pentas sukan bermotor bagi mana-mana negara untuk bertanding di peringkat antarabangsa. Ia lebih dari sekadar fenomena lumba motor yang biasa; ia adalah suatu konsep yang amat berlainan. Acara yang menguja peminat sukan lumba kereta ini berlangsung di Litar Lumba Antarabangsa Sepang dan menghimpunkan para pelumba terkemuka dunia.

Piala Monsun Terengganu Pulau Duyong tersohor di seluruh dunia kerana industri pembinaan kapalnya, dan kini ia menjadi tuan rumah Pertandingan Lumba Kapal Layar Antarabangsa di bawah liga Swedish Match Tour. Pelbagai acara menarik yang lain turut diadakan sempena Piala Monsun bagi memaparkan warisan kebudayaan Terengganu yang kaya.

Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) yang dianjurkan setiap dua tahun ini merupakan salah satu pertunjukan maritim dan udara yang terunggul di dunia. Acara ini amat dinanti-nantikan sebagai pentas utama bagi memaparkan produk dan perkhidmatan pertahanan maritim yang terkini. LIMA menghimpunkan teknologi serta produk terkini dalam industri aeroangkasa. LIMA kini terkenal sebagai salah satu pameran udara utama di dunia, yang pasti disertai oleh syarikat utama industri aeroangkasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan