Jumaat, 29 Januari 2010

KURSUS MEMBINA LAMAN BLOG MGC JOHOR 2010

MAJLIS GURU CEMERLANG JOHOR (MGCJ) dan JABATAN PELAJARAN NEGERI JOHOR (JPNJ) telah menganjurkan Kursus Membina Laman Blog di Hotel Landmark, Batu Pahat, Johor pada 29 Januari hingga 31 Januari 2010. Seramai 25 orang peserta yang terdiri daripada Setiausaha dan Penolong Setiausaha Majlis Guru Cemerlang Daerah seluruh negeri Johor telah mengikuti kursus ini. Dalam ucapan alu-aluan Encik Ramli bin Yahya (Timbalan Yang Dipertua MGC Johor) wakil rasmi Yang Dipertua MGC Johor (Puan Norizah binti Rahmat)berharap kursus ini menjadi tapak penting untuk membuka ruang seluas-luasnya kepada semua guru cemerlang sama ada di daerah, negeri, atau negara untuk mengakses maklumat dengan cepat dan terkini. Melalui blog yang akan dibina oleh setiap MGC daerah ini akan memberikan ruang kepada jabatan pelajaran negeri, pejabat pelajaran daerah, atau sekolah-sekolah memperoleh maklumat tentang kepakaran guru cemerlang, aktiviti MGC daerah, dan sumbangan yang disediakan untuk membantu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran guru serta membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM, dan STPM di negeri Johor. Beliau juga berharap selepas ini semua guru cemerlang di negeri Johor akan diberikan pendedahan untuk memastikan pengisian maklumat seperti nota, soalan, dan bahan pengajaran dan pembelajaran dapat dimuatkan dalam laman tersebut. Melalui cara ini, guru dan pelajar akan memperoleh satu lagi saluran untuk mendapatkan maklumat yang berguna dengan cepat.
Kursus selama tiga hari ini telah dikendalikan oleh Encik Ismail bin Yon (Pengerusi MGC Kluang) dan Encik Jamal bin Ali (AJK MGC Batu Pahat). Kedua-dua fasilitator ini merupakan guru cemerlang yang mempunyai kepakaran dalam bidang multimedia di negeri Johor. Terima kasih kepada, Encik Ahmad bin Rukiman (Naib Yang Dipertua MGC Johor) dan Puan Nursidah binti Ab. Hamid (Pengerusi MGC Batu Pahat) yang bertindak sebagai urus setia dan penyelaras kursus ini. Semoga kursus ini memberikan manfaat berganda untuk peningkatan kecemerlangan diri guru cemerlang dan pencapaian akademik pelajar di seluruh negeri Johor pada masa akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan