Selasa, 16 Februari 2010

36 JAM AKU DI PANGKUANMU, GELIGAKU.

Assalamualaikum buat semua sahabat setia yang melayari blog ni:
13 Februari 2010 (Sabtu)-jam 3.00 petang aku dan keluarga sampai di perkampungan tempat lahirku 46 tahun lalu. Pukul 5.00 petang aku terus memandu kereta bersiar-siar di kawasan yang pernah meninggalkan banyak memori suka dan duka. Aku berehat sebentar di tepi pantai Teluk Mak Nik, Geliga (nama baharu yang dibenarkan oleh kerajaan Terengganu...Monica Bay; sebagai Munsyi Dewan aku langsung tidak bersetuju dengan nama itu...teluk itu sendiri ada sejarah yang perlu dikaji oleh anak-anak Geliga). Hampir dua jam aku berehat di bangku tepi pantai Geliga, belakang INTAN Wilayah Timur. Sebenarnya, 1981 aku pernah bekerja membancuh simen untuk membina bangunan INTAN ini bersama-sama sahabatku Razali Mohd. Amin (aku sendiri pun tak tahu di mana dia sekarang?). Sudah maju rupanya kampungku ini. 14 Februari 2010, sebelah petang aku dan keluarga singgah sebentar untuk menikmati makanan sata, otak-otak, keropok, kudus di warung milik sahabatku Ripin (dulu seorang nelayan, kini seorang usahawan berjaya). Dah lama tak menikmati makanan tradisi ini. Aku cukup suka makan sata. Sebenarnya, masa aku darjah 3,4,dan 5 (sekitar tahun 1973-1975); di kampung Geliga hingga ke kampung Kuala Kemaman...suara akulah yang akan melaung-laung setiap petang untuk menjual sata ke rumah-rumah di seluruh kampung...wang upah menjual sata (50 sen hingga 80 sen setiap hari) aku simpan untuk membeli buku latihan sekolah. Pernah, aku melihat ayahku menangis kerana mendengar suaraku meminta simpati orang kampung untuk membeli sata yang dijual...Ayahku menjauhkan diri daripadaku. Hingga kini pun dia tidak menceritakan hal itu kepada ku...Tapi peristiwa masih segar dalam ingatan ini. Bukan dia tidak mampu untuk membiayai pelajaran ku...tapi aku sengaja untuk emrasai susahnya hidup di kampung nelayan ini. Tetapi kini, banyak warung yang menjual sata, otak-otak, dan beberapa jenis makanan tradisional Terengganu menjadi kegemaran pelancong dari luar yang singgah sebentar di bumi Geliga ini. Ada yang makan di situ, ada yang bungkus untuk dibawa pulang ke kampung halaman. Harga makanan melambung naik, harga keropok juga melambung naik. Orang lain tetap membelinya. Rupanya, rakan-rakanku di Geliga ini...pandai juga berniaga...sudah maju rupa mereka. 15 Februari 2010, petang aku ke Kuala Kemaman...aku ke jeti perikanan Kuala Kemaman untuk mengimbau kenangan silam. Lama juga aku duduk seorang diri di atas jeti ini. Tahun 1981-1984 akulah orang yang banyak menghabiskan masa di sini. Menjadi seorang nelayan yang ke luar ke laut pukul 3.00 petang dan balik ke daratan pukul 9.00 pagi. Itulah kehidupanku sebelum berjaya dipilih ke Maktab Perguruan Mohd. Khalid, JB. Mengalir air mataku mengenangkan kisah silam dan sukarnya untuk memperoleh wang. Bukannya emak dan ayahku tak mampu untuk memberi makan pada anaknya ini, tapi aku yang sengaja untuk merasa betapa susahnya hidup seorang nelayan. Kini, hidup rakan-rakanku sebagai nelayan tidak lagi sesukar zamanku dulu. Semuanya ada bantuan daripada pihak kerajaan, swasta, industri hiliran yang bercambah seperti cendawan di bumi Geliga ini. Rupanya, sudah maju kampungku ni. Esok, 16 Februari 2010 aku akan meninggalkan sementara kampungku ini untuk mencari sebutir Geliga di sebuah perjalanan yang jauh ini. Terima kasih buat semua yang pernah menjejaki kaki di bumi kelahiranku di Geliga, Kemaman, Terengganu Darul Iman.

2 ulasan:

  1. Tuan,
    Sungguh indah saat itu apabila diimbau. Terasa manisnya pengalaman silam yang mematangkan diri. Lantas, tika kita sudah sampai ke destinasi, jangan pula kita mudah lupa dari mana kita bermula.

    BalasPadam
  2. w/pn catatan ditulis 2010, saya ttp nk ulas sb saya rasa sngt bersyukur krn kehidupan di zmn sek rendah saya tdk sesukar yg dialami tuan w/pn beza umur kita hanya 2 thn. Mungkin krn ayah saya seorg penjawat awam & arwah mak berniaga kedai runcit...Tahniah buat tuan..
    Anak Trg(Kg Jambu Bongkok,Mrg)

    BalasPadam