Rabu, 14 Disember 2011

MPMK: SATU PERTEMUAN HATI DAN MATA-MELAKA 2011

MPMK – Satu Pertemuan Hati dan Mata
D’Village Melaka 2011
Oleh: Ramli bin Yahya

Satu pertemuan hati dan mata
Satu memori indah
Bumi bertuah
Melaka bersejarah.

Hari ini
Telah menemukan satu pertemuan jauh dan dekat
Telah mendekatkan satu pertemuan yang rapat
Telah merapatkan satu perjalanan yang singkat
Telah menyingkatkan satu perjalanan
seribu kenangan silam
sejuta pengalaman terbentang

MPMK – Satu Pertemuan Hati dan Mata
Indah buat si teruna bertemu jodoh di situ
Indah buat sijejaka bermadu kasih di situ
Indah buat sidara berbual bicara di situ
Indah buat digadis dilamun cinta sejati di situ
Indah buat anak muda mengejar cita dan cinta

MPMK – Satu Pertemuan Hati dan Mata
Dari ruang legar kantin, menjamu selera
Dari ruang blok papan, menadah tinta
Dari ruang bilik pengetua, menitik kota janji
Dari ruang bilik pensyarah, melunas setia sekata
Dari Pintu Pagar, meneropong jauh merentas Selat Tebrau
Dari ruang Dewan Besar MPMK
kita berjanji mengukir sebuah arca jaya
dengan slogan hikmat
pendidikan untuk masyarakat

MPMK – Satu Pertemuan Hati dan Mata
Kita telah mengenal dunia ini bermula di sini
Kita telah seribu kali menapak juga bermula di sini
Kita telah menggapai impian murni juga bermula di sini
Kita telah menikmati kejayaan ini juga bermula di sini
Kita telah menyalakan obor pendidikan juga bermula di sini
Kita telah menjadi semakin dewasa sebenarnya juga bermula di sini

MPMK – Satu Pertemuan Hati dan Mata
Kami berhimpun semula di sini
Jauh dan dekat, utara dan selatan
Timur dan barat, pulau dan daratan
Mengikat satu janji satu ikatan
Merapat satu pertemuan satu harapan
Melunas rindu seribu kecintaan
Menabur sejuta pengalaman sejuta keikhlasan
Marilah kita,
Melangsaikan segala kenangan terpahat di hati
Pada pertemuan hati dan mata

Marilah kita,
Menadah doa buat teman yang pergi meninggalkan kita
Sendirian di saujana sana dengan iringan kalimah suci
Marilah kita,
Mengukirkan intan dan permata
buat teman yang masih setia bersama kita
mengeratkan silaturahim dalam satu gelungan kejap
untuk melangsai segala kenangan abadi di bumi tercinta ini
Marilah kita,
Kejapkan pertemuan hati dan mata
Dengan sebuah keakraban sejati
Buatmu MPMK-ku.

RAMLI BIN YAHYA
MUNSYI DEWAN, DBP
GURU CEMERLANG BM
SMK. SENGGARANG, BATU PAHAT.
http://ramlibinyahya.blogspot.com