Isnin, 24 Januari 2011

KERJA RUMAH MASA CUTI TAHUN BAHARU CINA 2011

Kepada semua pelajar 5 Bestari, 5 Cemerlang, 5 Intan, dan 5 Mutiara, SMK. Senggarang 2011.

Soalan Kajian Novel:

Berdasarkan novel Melunas Rindu dan Kabus di Perbukitan, jawab dua soalan di bawah:
1. Huraikan tema dan persoalan yang terdapat dalam kedua-dua novel yang anda kaji. (7 markah)
2. Kemukakan TIGA nilai dan TIGA pengajaran yang terdapat dalam kedua-dua buah novel yang anda kaji serta buktinya. (8 markah)
*Sila tulis latihan ini dengan lengkap dalam buku latihan Pemahaman Komsas dan Kajian Novel
*Sila hantar latihan yang telah lengkap ke meja saya di bilik PIBM (Pusat Info-BM) pada 7.2.2011 sebelum pukul 12.00 tengah hari.
Sekian, terima kasih.
Jika anda menghadapi masalah sila hubungi saya dengan segera: 0137242909

Rabu, 22 Disember 2010

RE-UNION MPMK UNTUK SEMUA BATCH

Tahniah buat semua teman yang sudi melapangkan masa demi sebuah pertemuan di Kukup Golf Resort, Pontian, Johor, 22-23 Disember 2010. Pertemuan yang hanya menghimpunkan hampir 30 keluarga telah berjaya mengimbau kembali kenangan silam dalam satu Arca Memorabilia. Tepatlah temanya "MPMK-Satu Arca Memorabilia" yang dipilih oleh JK Pengelola. Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada Encik Azman Alos, En. Asmuni, En. Abu Hassan, dan beberapa orang guru daerah Pontian yang sudi membantu menjayakan program murni ini. Teristimewa buat Man Kidai yang telah sudi bersama-sama dari pagi hingga larut malam untuk memeriahkan majlis kami ini. Terima kasih daun keladi buat semua teman yang telah datang dari jauh dan dekat untuk menikmati satu pertemuan yang indahnya merentas kata dan emosi. Terima kasih kepada AJK Pengelola yang telah melantik saya sebagai wakil/presiden untuk satu pertemuan ini dan jurucakap serta pembaca sajak. Semoga kita menterjemahkan impian Man Kidai agar pertemuan ini diteruskan pada masa akan datang sebagai kelangsungan MPMK-Satu Arca Memorabilia 2 pada masa akan datang. Untuk teman yang teristimewa; saya sertakan sajak yang saya deklamasikan malam tadi di Dewan Kukup Golf Resort diiringi petikan gitar oleh penyanyi terkenal tanah air, Man Kidai. Terima kasih juga buat seorang teman yang cukup istimewa tetapi sudah lama terpisah jauh, akhirnya singgah sementara di ruang latar emosi dan perasaan dalam pertemuan singkat ini. Terima kasih re-union MPMK. Terima kasih daun keladi buat semua temanku.


MPMK – Satu Arca Memorabilia
Oleh: Ramli bin Yahya

Maktab Perguruan Mohd Khalid,
Jalan Abdul Samad, 80100 JB

Telah memorikan satu perjalanan jauh
Telah memorikan satu pertemuan yang dekat
Telah mendekatkan satu pertemuan yang rapat
Telah mendekatkan satu perjalanan yang singkat
Telah memahatkan seribu kenangan mendatang
Telah memahatkan sejuta pengalaman merintang
Itulah
MPMK satu arca memorabilia

FASA 2
MPMK
Manis buat si teruna bertemu jodoh
Manis buat sijejaka bermadu kasih
Manis buat sidara berbual bicara
Manis buat digadis dilamun cinta sejati
Manis buat anak muda sedang mengejar cita
Manis buat kita yang mencari sesuatu untuk dijaga
Itulah
MPMK satu arca memorabilia

FASA 3
MPMK
Dari ruang legar kantin, kita menjamu selera
Dari ruang ke satu ruang blok papan, kita menadah tinta
Dari ruang sejuk bilik pengetua, kita menitik kota janji
Dari ruang rimas bilik pensyarah, kita melunas setia sekata
Dari ruang Dewan Besar, kita berjanji mengukir arca jaya
Dari Pintu Pagar, kita meneropong jauh merentas Tebrau
Itulah
MPMK satu arca memorabibila

FASA 4
MPMK
Kita telah mengenal dunia ini bermula di sini
Kita telah seribu menapak juga bermula di sini
Kita telah menggapai impian murni juga bermula di sini
Kita telah menikmati kejayaan ini juga bermula di sini
Kita telah menyalakan obor pendidikan negara juga bermula di sini
Kita juga telah menjadi semakin dewasa sebenarnya juga bermula di sini
Itulah
MPMK satu arca memorabilia

FASA 5
MPMK
Kini,
Kami berhimpun semula di bumimu
Jauh dan dekat, utara dan selatan
Timur dan barat, pulau dan daratan
Kami Mengikat satu janji satu ikatan
Kami Merapat satu pertemuan satu harapan
Kami Melunas seribu kerinduan seribu kecintaan
Kami Menabur sejuta pengalaman sejuta keikhlasan
Marilah kita,
Melangsaikan segala kenangan terpahat di hati
Rindu terurai sudah
Marilah kita,
Menyusun doa buat teman yang pergi meninggalkan kita
Sendirian di saujana sana
Marilah kita,
Mengukirkan intan dan permata buat
Teman yang masih setia bersama kita
Mengeratkan silaturahim dalam satu gelungan kejap
Untuk
Melangsai segala kenangan abadi di bumi tercinta ini
Itulah,
MPMK satu arca memorabilia.

RAMLI BIN YAHYA
GURU CEMERLANG BM
SMK. SENGGARANG, BATU PAHAT.
http://ramlibinyahya.blogspot.com

Selasa, 10 Ogos 2010

PERCUBAAN SPM 2010

Kepada semua calon SPM 2010 di negeri Johor Darul Takzim, bermula 12.8.2010 hingga 3.9.2010 bermulalah satu lagi perjuangan untuk kita menghadapi peperiksaan percubaan SPM 2010. Peperiksaan ini akan menjadi menjadi kayu ukur sebenar pencapaian SPM 2010. Cikgu mendoakan kepada semua calon SPM 2010 di seluruh negeri Johor sentiasa siap siaga dala menghadapi peperiksaan ini. Biarlah kita korbankan sedikit masa hari ini untuk menikmati sebuah kejayaan pada hari esok...Selamat menempuh peperiksan percubaan SPM 2010.

Sabtu, 10 Julai 2010

MALAM GURU JUARA RAKYAT 2010

Malam tadi (10.07.2010) malam yang sangat menggembirakan hatiku setelah diumumkan sebagai penerima anugerah Guru Berprestasi Tinggi di SK Parit Bilal, Batu Pahat. Anugerah julung kali diperkenalkan ini telah disampaikan oleh YB. Dr. Mohd. Puad bin Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Haji Supaat bin Tumin, Pengarah Pelajaran Johor, Haji Shafie bin Mohd. Sharif, Pegawai Pelajaran Daerah Batu Pahat, ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Parlimen Batu Pahat (Dun Senggarang, DUN Rengit, dan DUN Penggaram). Anugerah ini merupakan satu penghormatan tertinggi kepadaku setelah berkecimpung dalam dunia pendidikan sebagai guru sekolah rendah, sekolah menengah, dan guru prauniversiti. Kejayaan ini telah meningkatkan semangatku untuk menyumbangkan tenaga demi mencapai kecemerlangan pendidikan anak bangsa di sekolah, daerah, dan negeri. Aku juga ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan sekerja yang telah memberikan sokongan dan dorongan. Kejayaan ini bukan milikku seorang, kejayaan ini adalah milik kita semua yang masih mencari ramuan terbaik untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan anak-anak bangsa di persada. Hadiah sebuah notebook ACER ASPIRE 4741Z dan Sijil Penghargaan yang telah disampaikan oleh YB Dr. Mohd Puad bin Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada malam tadi telah memberikan aspirasi baharu kepadaku untuk melangkah lebih laju dan melonjak lebih tinggi agar kecemerlangan kita dalam akademik di peringkat DUN, sekolah, dan negeri tertunai tanpa mengurangkan kecemerlangan sahsiah anak bangsa. Terima kasih tuhan, terima kasih semua. Inilah, Memorabilia satu lagi memorabilia yang tercatat dalam sejarah hidupku di bumi yang bertarikan tarian kuda kepang.

Isnin, 31 Mei 2010

TERIMA KASIH DAUN KELADI : LAWATAN SAMBIL KERJA 2010

Sebagai Pengerusi Kelab Bilik Guru dan Kakitangan SMK. Senggarang, Batu Pahat, Johor, saya merakamkan ucapan jutaan terima kasih atas kerjasama semua peserta lawatan yang telah menjayakan lawatan sambil kerja ke negeri Kelantan Darul Naim, Terengganu Darul Iman, dan Pahang Darul Makmur pada 27 MEI 2010 hingga 30 MEI 2010. Terima kasih kepada Encik Khairul Izad bin Abd Rahman (Penyelaras Lawatan), Tuan Haji Arbai (Bendahari), Tuan Haji Ayob Rosdi (Timbalan Pengerusi Kebiru) dan Tuan Haji Omar bin Ponamin (GPK Kokurikulum). Terima kasih daun keladi diucapkan kepada:
a. YB Dato' Mustafa bin Mohamad (Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan) yang memberikan sumbangan makan tengah hari pada 28.5.2010
b. YAB Dato' Ahmad Said (Menteri Besar Terengganu) yang memberikan sumbangan makan malam pada 28.5.2010
c. YB Dato' Sabree bin Cheek (Menteri Belia dan Sukan/ Ahli Parlimen Kemaman) yang telah memberikan sumbangan makan tengah hari pada 29.5.2010
d. YAB Dato' Sri Adnan Yaakob (Menteri Besar Pahang) yang memberikan sumbangan makan malam pada 29.5.2010
e. YAB Dato' Sri Najib bin Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Malaysia / Ketua UMNO Bahagian Pekan) memberikan sumbangan makan tengah hari pada 30.5.2010.
f. Puan Khadijah Selamat dan semua kakitangan BTPN Pahang, beserah kerana memberikan ruang untuk bermalam di asrama BTPNP pada 29.5.2010
Semoga lawatan sambil kerja ini memberikan impak yang besar dalam meningkatkan kualiti kerja peserta lawatan. Sekian, terima kasih.

Ahad, 30 Mei 2010

KERJA MASA CUTI BAHASA MELAYU TINGKATAN 5 PERTENGAHAN JUN 2010

Kepada semua pelajar Tingkatan 5 Bestari, 5 Jed, dan 5 Intan SMK. Senggarang, Batu Pahat, Johor Darul Takzim.

Soalan 1.
Andaikan bahawa anda seorang bekas peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang telah menerima anugerah peserta terbaik dalam program tersebut. Anda dijemput untuk menyampaikan ceramah tentang kebaikan progran ini kepada semua pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah. Sediakan ceramah anda selengkapnya. (Tulis karangan anda dalam buku latihan karangan)

Soalan 2.
a) Berdasarkan novel Putera Gunung Tahan karya Ishak Haji Muhammad, jelaskan TIGA peristiwa yang menunjukkan nilai murni cinta akan tanah air.
b) Berdasarkan novel Di Hadapan Pulau karya A. Samad Said, huraikan LIMA pengajaran yang terdapat dalam novel tersebut.
c) Berdasarkan kedua-dua buah novel yang anda kaji, jelaskan TIGA persamaan nilai murni yang dimiliki oleh watak wanita dalam novel tersebut.
Tulis ketiga-tiga soalan ini dalam buku kajian novel.
Peringatan:
Semua latihan kerja masa cuti ini mesti dihantar ke meja saya pada 21.6.2010 (hari Isnin) selewat-lewatnya pukul 10.30 pagi.

Jumaat, 7 Mei 2010

SETAHUN BERLALU: AKU MAKIN TERPISAH JAUH

Buat semua sahabatku,
16 Mei datang lagi...banyak kenangan, banyak rintangan merintang dalam perjalanan ini,
16 Mei datang lagi...setiap luka yang tercalar telahpun pulih bersama usia berlalu,
16 Mei datang lagi...aku makin merindui zaman meniti malam bersama kenangan,
16 Mei datang lagi...kali ini aku menunggu berita darimu untuk coretan setahun lagi.