Rabu, 8 Ogos 2012

MENGESAN MAKNA KATA ATAU FRASA DALAM WADAH SISWA BIL 2/2012

TAJUK: BERBUDI BAHASA CERMINAN PERIBADI MULIA ms 4 -5
1.  leluhur  = amalan nenek moyang
2.  luhur  =  kemuliaan
3.  globalisasi  =  peringkat antarabangsa
4.  manifestasi  =  memperlihatkan
5.  dicitrakan  =  digambarkan
6.  aset  =  nilai
7.  prosedur  =  mengikut tatacara yang ditetapkan
8.  kompromi  =  bertolak ansur
9.  institusi kekeluargaan = satu kelompok individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan
10. interaksi sosial = hubungan ahli dalam masyarakat

LATIHAN 1
Sila bina ayat yang tepat daripada SEMUA perkataan yang anda di atas.

LATIHAN 2
Berdasarkan petikan ini, senaraikan TIGA kata hikmat dan TIGA peribahasa.

LATIHAN 3
Huraikan maksud kedua-dua pantun yang terdapat dalam petikan tersebut. 

Khamis, 2 Ogos 2012

BUDI BAHASA PANCARAN HATI


Bahasa yang dituturkan oleh seseorang merupakan pancaran akal budi dan rasa hati. Melalui bahasa, seseorang itu akan menuturkan apa-apa yang tersurat dan tersirat dari hati dan fikiran.
Bahasa yang baik akan memberikan manfaat kepada orang lain dan diri sendiri. Bahasa juga menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan dalam hubungan dengan orang lain. Pembangunan dan kemajuan yang sempurna itu merupakan paduan antara pembangunan dan kemajuan kerohanian dengan kebendaan.
Budi bahasa merupakan antara unsur kerohanian yang penting. Kepentingan budi bahasa dalam pembangunan dan kemajuan menyumbang kepada pembentukan tamadun. Secara jelas, bahasa menjadi media sosial, media perdagangan, media politik, media penyebaran ilmu pengetahuan, media pendidikan dan yang lebih utama, media penyebaran dakwah Islamiah.
Al-Quran memberikan sumbangan yang besar kepada bahasa manusia, terutamanya kepada bahasa Arab. Al-Quran menaikkan taraf bahasa Arab sebagai salah satu bahasa utama dunia dan menjadikan beberapa bahasa tempatan muncul sebagai lingua franca, baik di Afrika, Eropah mahupun Asia. Sumbangan al- Quran terhadap bahasa Parsi, Turki dan Melayu begitu jelas sekali.


Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Julai 2012.

Rabu, 1 Ogos 2012


SOALAN KARANGAN BAHASA MELAYU BAHAGIAN A 
(30 MARKAH)

Huraikan pendapat anda tentang amalan-amalan yang dapat membentuk masyarakat yang berbudi bahasa di negara kita.  Anda boleh menggunakan cadangan isi di bawah untuk membantu anda.  Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

·         Mengucapkan salam apabila bertemu
·         Membantu orang yang memerlukan
·         Mengutamakan tempat duduk kenderaan awam untuk orang yang lebih tua
·        Tunduk apabila melintas di hadapan orang yang lebih tua.

Selasa, 24 Julai 2012

LAGU: BUDI BAHASA BUDAYA KITA


Budi Bahasa Budaya Kita

Ibu bapa dan kaum keluarga
Saudara terdekat jiran tetangga

Sayang menyayangi bertegur sapa

Ketulusan ikatan sepanjang usia


Para guru rakan sekolah

Turut warnai kehidupan kita

Ilmu ditimba pengalaman bertambah

Pergaulan sihat peribadi ceria


c/o


Bangsa Malaysia berhemah tinggi

Ramah dan mesra elok pekerti

Yang tiada dibantu, yang lemah dilindungi

Bertimbang rasa hormat menghormati


Kita berkhidmat jujur dan ikhlas

Mencurah bakti tak minta dibalas

Harapan rakyat satu amanah

Budi bahasa budaya kita


Penyanyi: Zehra Zambri, Siti Nurhaliza

Ciptaan : Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah) Lirik: Habsah Hassan 

Lirik lagu Budi Bahasa Budaya Kita (lagu Patriotik)

AKTIVITI BAHASA MELALUI MAJALAH WADAH SISWA BIL 2/2012


Mengesan makna kata dan frasa yang sukar dalam Adat Citra Budi Bahasa Remaja (Wadah Siswa Bil. 2/2012 muka surat 6 -7)
  1. Warisan khazanah         =  hasil peninggalan harta benda atau budaya
  2. Inti pati utama                 =  sesuatu perkara yang penting
  3. Anak bubut                       =  sejenis anak burung (entropus bengalensis)
  4. Buah bidara                       =  sejenis  tumbuhan (zizyphus jujuba)
  5. Daun sirih                           =  sejenis daun yang boleh dimakan dengan pinang.
  6. Rasional                          =  alasan yang munasabah
  7. Citra budi bahasa            =  gambaran atau imej yang melambangkan sikap yang baik
  8. Mengalpakan                   =  melalaikan, mengabaikan, atau melupakan
  9. Rebel                                   =  sikap suka menentang dan tidak sefahaman
  10. Tidak bernakhoda          =  tiada pemimpin atau ketua
  11. Cerminan positif             =  gambaran yang baik dan sempurna

LATIHAN 1:
Sila bina ayat yang sesuai dengan kata atau frasa di atas untuk menunjukkan anda faham akan maksudnya.

LATIHAN 2:
Berdasarkan petikan  Adat Citra Budi Bahasa Remaja,  huraikan:
  • Adat merisik
  • Adat berkahwin
  • Adat membasuh kaki sebelum masuk ke rumah
  • Adat bersalam
  • Adat makan sirih
LATIHAN 3:
Bincangkan LIMA faktor  adat dan budi bahasa semakin hilang ditelan zaman pada hari ini?

LATIHAN 4:
Pilih kata atau frasa yang menarik dalam petikan ini dan bina:
  •    Serangkap pantuan empat kerat
  •    Serangkap syair

Isnin, 16 Januari 2012

LATIHAN KERJA RUMAH MASA CUTI SEMPENA SAMBUTAN TAHUN BAHARU CINA 2012

Untuk pelajar 5 Bestari, 5 Jed, 4 Bestari, dan 4 Mutiara

Huraikan pendapat anda tentang kesan negatif daripada kebanjiran kedatangan warga asing tanpa izin di negara ini. Panjang huraian anda tidak kurang daripada 350 patah perkataan.
Cadangan isi:
1. Berlakunya peningkatan jenayah
2. Pengangguran belia tempatan
3. Merebaknya penyakit berbahaya
4. Kesukaran mengawal kemasukan mereka

Isi- isi yang sesuai dan berkaitan dengan tajuk diterima.

Sila tulis latihan ini dalam buku latihan karangan yang telah ditetapkan. Hantar latihan ini pada 30/1/2012 sebelum jam 12.00 tengah hari.

Isnin, 9 Januari 2012

CORETAN RASA BUAT TEMAN 2012

Buat semua sahabatku, ramai yang bertanya tentang perkembangan diri ini...kusampaikan secebis madah buatmu teman setiaku "sama ada ulit mayang atau kuda kepang yang kutari di pentas ini..rentaknya tetap sama... menghibur orang di sekeliling; anak dan isteriku pelakonnya, murid dan rakan taulanku penontonnya...kutahu, jauh di sudut sana masih ada sahabat yang menontonnya dengan iringan air mata walaupun tarian ulit mayang dan kuda kepang rancak beradu di ruang sempit pentas bercahaya..."semoga kalian terus bahagia dengan persembahanku sebelum aku singgah memungut sisa yang tinggal di pentas sepi"