Isnin, 27 Jun 2011

TEMA PENTING SPM 2011

TEMA PENTING SEBAGAI PERSEDIAAN MENGHADAPI PEPERIKSAAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA 2011


1. Kepentingan aktiviti kokurikulum dan cara menggalakkan pelajar menyertai aktiviti berkenaan.
2. Faedah yang diperoleh apabila kita menjalani aktiviti bersukan
3. Kepentingan aktiviti perkhemahan
4. Peranan anda dalam menjayakan kempen amalan membaca
5. Peranan keluarga dalam menjayakan amalan menabung
6. Langkah-langkah yang boleh dijalankan untuk mengekalkan perpaduan kaum di negara ini dan kepentingannya
7. Cara-cara untuk membalas jasa guru anda
8. Cara-cara untuk membalas jasa ibu bapa anda
9. Cara-cara menghargai tokoh pemimpin yang anda sanjungi
10. Perkara-perkara yang perlu anda lakukan untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang
Panduan:
• Sila cari maklumat lengkap tema di atas daripada majalah, akhbar, buletin, atau laman sesawang dan bincangkan tema ini bersama-sama rakan anda di bilik darjah.
• Kemukakan setiap isi penting daripada tema di atas dan sertakan contoh yang sesuai.
• Kenal pasti peribahasa yang sesuai bagi setiap isi yang anda cari
• Buatlah sebuah karangan yang lengkap mengikut kehendak soalan SPM
Selamat mencuba. Cikgu doakan anda akan berjaya dalam peperiksaan SPM 2011 dengan cemerlang. Pastikan satu A+ datang daripada subjek Bahasa Melayu. Sekian, terima kasih.

Jumaat, 13 Mei 2011

SELAMAT HARI GURU 2011 : BUAT SEMUA GURUKU

Salam sejahtera buat teman yang bergelar guru;



16 MEI 2011 saya di beri peluang sekali lagi untuk mendeklamasikan sajak. Kali ini agak berbeza sedikit situasinya. Saya akan menyampaikan sajak ini di SMK. Banang Jaya, Batu Pahat sempena sambutan hari guru peringkat sekolah. Buat teman seperjuangan dan buat anak didik SMK. Banang Jaya, kugagahi dan kutunaikan hasrat ini demi cinta dan sayangku pada SMK. Banang Jaya. Sajak Obor Hemah karya Sasterawan Negara A. Samad Said akan saya deklamasikan pada hari tersebut.


OBOR HEMAH

Guru adalah awan indah terbang rendah,
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara ihsan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru - atap ganti ketika pondok bocor,
ketika sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara,
ia - sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara dharma,
memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun,
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,
ia mengemudi biduk, melepaskannya,
atas lambungan laut, merangsangkan
manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru - minda segar dan kukuh akar,
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih,
dan pada ketika tak tersangkakan,
walau diambilnya kemball semua buku,
sempat ditinggalkan asas i1mu.

Guru
adalah batin suci hatinurani,
Guru
penjunjung budi, manusia yang takwa,
Guru
obor hemah kehidupan bangsa.

A. SAMAD SAID
2 APRIL 1988

Selasa, 10 Mei 2011

BENTUK PENULISAN KATA MAJMUK YANG TELAH MANTAP

Rakan-rakan pengguna bahasa Melayu,
Di sini saya sertakan senarai kata majmuk yang telah mantap dan dieja secara bercantun:
1. antarabangsa
2. beritahu
3. bumiputera
4. jawatankuasa
5. kakitangan
6. olahraga
7. matahari
8. setiausaha
9. sukarela
10. suruhanjaya (maaf...sebelum ini ejaan ini dieja salah "suruhajaya"
11. tandatangan
12. tanggungawab
13. warganeara
14. pesuruhjaya
15. kerjasama

Semua kata majmuk di atas merupakan kata nama majmuk kecuali perkataan beritahu yang merupakan kata kerja majmuk.

Walau bagaimanapun, terdapat sejumlah perkataan yang tergolong dalam golongan kata tertentu yang lazimnya dieja bercantum:

Kata nama:
peribadi, peribahasa, hulubalang, dinihari, perikemanusaan

Kata adjektif:
sukacita, dukacta

Kata sendi nama:
kepada, daripada

Kata hubung
apabila, manakala, padahal, apakala, walhal, darihal, barangkali, kadangkala

kata tanya:
bagaimana

Selasa, 26 April 2011

UJI MINDA: LATIHAN TATABAHASA

(LATIHAN EJAAN)

LATIHAN 1: MENGESAN KESALAHAN KATA ATAU FRASA DALAM AYAT

1. Kereta yang baru di beli oleh kami itu sangat mahal sekali harganya kerana ianya diimport daripada Jepun.

2. Aiman mendapat keputusan cemerlang dalam matapelajaran Bahasa Melayu dan dia telah dilantik sebagai ahli jawatan kuasa Persatuan Bahasa Melayu disekolahnya.

3. Terdapat banyak usaha-usaha yang mereka lakukan untuk memperluaskan penggunaan Bahasa Melayu di kalangan penduduk dinegara ini sejak malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 OGOS 1957.

4. Mesyuarat agong P.I.B.G kali ke 31 akan dijalankan serentak dengan majlis perasmian SUKMA kali ke-X yang berlangsung dinegeri Terengganu Darul Iman.

5. Calun-calun peperiksaan yang datang dari seluruh pelusuk negara ini dikehendaki datang lebih awal untuk mengenalpasti kedudukan mejanya didalam dewan peperiksaan.

6. Bila cuti sekolah bermula kebanyakkan pelajar telah membuat perancangan untuk melancung keluar negeri.

7. Pertandingan Bolasepak Bawah 15 Tahun kali ke XIV itu telah dihadiri kedua pemimpin negara itu.

8. Penolong Pegawai Pendidikan-Penolong Pegawai Pendidikan seluruh tanahair itu telah menyampaikan taklimatnya.

9. Injin motosikal yang diubah suai oleh juru teknik syarikat itu telah diistiharkan sebagai pemenang tempat ke-2.

10. Semua buku-buku latihan yang telah dicop oleh kami telah dihantar kepada sebilangan pelajar-pelajar di dalam kelas hari ini.

11. Peserta daripada Malaysia telah dipilih menyertai pertandingan rekacipta peringkat antara bangsa melalui e-mail yang dikirim pagi semalam.

12. Di akhir pengajaran dan pembelajaran ini, semua pelajar dapat menjawab 8 daripada 10 soalan yang di kemukakan dengan tepat berdasarkan.

Selamat Maju Jaya.

Rabu, 30 Mac 2011

PENGORBANAN DEMI SEBUAH KEJAYAAN

Petang tadi 30/3/2011 jam 2.30 petang aku menerima sekeping surat rasmi dari PPD Batu Pahat. Aku ditukarkan sementara ke SMK. Banang Jaya, Batu Pahat bermula 31/3/2011 hingga 26/5/2011 (lebih kurang dua bulan). Satu pembaharuan idea yang sangat menarik dan berani telah dilakukan oleh Tuan PPD Batu Pahat. Dah lama aku mendengar idea ini, baru kini dapat diterjemahkan. Aku bangga menjadi orang pertama terpilih dalam program penempatan sementara ini. Tugas aku mudah, menjadi tenaga pengajar di sekolah itu dan membantu guru-guru di SMKBJ menjayakan program peningkatan akademik, khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Terima kasih Pengetua SMK. Senggarang membenarkan aku bergerak sementara ke SMK. Banang Jaya dan terima kasih Pengetua SMK Banang Jaya kerana sudi menerimaku untuk menjadi warga SMKBJ walaupun untuk seketika. Masih banyak ruang dan peluang yang perlu dilakukan demi mencari sebuah kejayaan yang akan terhasil melalui pengorbanan masa, tenaga, dan emosi. Aku pasti akan berusaha lebih gigih untuk memenuhi cita-cita murni demi pendidikan di Batu Pahat.

Selasa, 1 Mac 2011

KERJA RUMAH MASA CUTI PADA 12/3 HINGGA 19/3

KEPADA SEMUA PELAJAR 5 BESTARI, 5 CEMERLANG, 5 INTAN, DAN 5 MUTIARA SMK. SENGGARANG, BATU PAHAT...Di bawah ini disertakan DUA soalan kerja rumah masa cuti.

Soalan 1: Soalan karangan bahagian B (lebih daripada 350 patah perkataan)

Alam sekitar yang bersih dapat menjamin kesihatan kita. Bincangkan peranan anda.


Soalan 2: Soalan Kajian Novel

Berdasarkan novel Melunas Rindu (tingkatan empat) dan Kabus di Perbukitan (tingkatan lima)
a. Jelaskan lima peristiwa yang menunjukkan nilai kasih sayang watak utama dalam kedua-dua novel di atas (8 markah)

b. Pengarang telah memaparkan semangat ketabahan dan kegigihan dalam diri watak utama kedua-dua novel ini. Jelaskan lima peristiwa yang menunjukkan watak utama tabah dan gigih menghadapi rintangan dalam setiap novel yang anda kaji (7 markah)


Sila hantar kerja rumah ini kepada Encik Ramli bin Yahya pada 21/3/2011 sebelum pukul 12.00 tengah hari di Bilik Info-BM, SMK. Senggarang, Batu Pahat.

SOALAN BM KERTAS 1 BAHAGIAN B SPM 2010

Pilih SATU daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya LEBIH DARIPADA 350 PATAH PERKATAAN.
1. Anda telah dilantik sebagai pngawas sekolah. Sebagai pengawas, bincagkan peranan anda untuk membantu pihak sekolah membentuk murid yng berdisiplin.
2. "Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu." Situasi seperti yang di atas seharusnya tidak berlaku dalam sesebua masyarakat. Jelaskan tanggungjawab yang sepatutnya dlaksanakan oleh anak-anak terhadap ibu bapa.
3. Negaraku,
Tanah tumpahnya darahku
Rakyat hidup bersatu dan maju
Rahmat bahagia Tuhn kurniakan
Raja kita selamat bertakhta.
Lirik lagu Negarku di atas antaranya menyentuh soal perpaduan, ksyukuran dan taat setia rakyat kepada taja dan negara.
Huraikan peranan setiap rakyat Malaysia dalamd enjamin kesejahteraan negara sebagaimana yang dihasratkan dalam lirik tersebut.
4. Penyakit berjangkit seperti selesema burung, influenza A (H1N1) dan meningitis atau radang otak telah menjadi isu global.
Huraikan langkah-langkah yang perlu diambil oleh negara-negara di dunia untuk menangani wabak penyakit tersebut.
5. Peribahasa "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan" membawa maksud bahawa jika ada azam dan usaha, pasti ada kejayaan.
Tulis sbuah cerpen berdasarkan maksud peribahasa tersebut.