Rabu, 18 Jun 2014

KEMAHIRAN PENUTUP DALAM PDP BERKUALITI



Kemahiran Penutup
1.0 OBJEKTIF
Di akhir pengajaran pelajar dapat mempelajari dan memahami:
1.1. Penutup Kognitif dan sosial
1.2. Prinsip- prinsip penggunaan kemahiran penutup
1.3. Kesan penutup ke atas pengajaran- pembelajaran.
1.4. Objektif kemahiran penutup.
1.5. Komponen kemahiran penutup.
1.6. Cara pengendalian pengajaran mikro.
2.0 KEMAHIRAN PENUTUP.
Untuk menentukan bahawa pengajaran guru itu berkesan dan berjalan lancar, kemahiran penutup pelajaran sama juga pentingnya dengan kaedah memulakan pengajaran. Penutupan pengajaran yang baik akan meninggaalkan kesan yang berkesan dilubuk hati para pelajar.
2.1.Ia merupakan bahagian akhir sesuatu pelajaran.
2.2.Aktiviti-aktiviti rumusan, pengukuhan dan penilaian biasanya diadakan dalam
bahagian penutup ini.
2.3.Oleh itu, guru boleh menggunakan bahagian ini untuk membantu pelajar-pelajar mengukuhkan konsep atau kemahiran yang baru sahaja dipelajari dengan merumuskan semua isi penting atau memberikan aktiviti susulan kepada mereka
2.4.Di samping itu, guru juga boleh menggunakan bahagian penutup ini untuk menilai pencapaian objektif serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan.
2.5.Hasil penilaian akan digunakan untuk membuat pengubahsuaian terhadap
pelajaran yang berikutnya.
2.6.Terdapat dua jenis penutup iaitu penutup kognitif dan penutup social.
2.6.1.Penutup Kognitif
- Bertujuan untuk mengukuhkan segala isi pelajaran dan kemahiran yang telah dipelajari.
- Ia boleh digunakan sebagai aktiviti susulan, rumusan dan pengukuhan.
2.6.2. Cara melaksana.
- Membuat rumusan atau kesimpulan tentang apa yang telah
dipelajari melalui aktiviti mencatat isi-isi penting di papan tulis atau papan gulung.
- Memberikan kerja bertulis dalam buku latihan atau lembaran kerja kepada pelajar-pelajar.
- Memberikan aktiviti pengayaan kepada pelajar-pelajar.
- Menyoal pelajar-pelajar tentang isi-isi penting yang telah dipelajari.
2.6.3. Penutup Sosial.
- Bertujuan untuk memberi satu perasaan pencapaian kepada pelajar-pelajar supaya mereka ingin terus belajar.
- Penutup sosial ini biasanya dilakukan dengan menggunakan teknik peneguhan
- Misalnya ;
“Murid-murid telah boleh menyelesaikan semua masalah luas dengan memuaskan. Dalam pelajaran yang akan datang, cikgu akan mengajar kamu topik isipadu”
3.0. PRINSIP-PRINSIP PENGGUNAAN KEMAHIRAN PENUTUP
3.1.Aktiviti penutup haruslah sesuai dengan objektif, isi pelajaran dan kemahiran
pelajar yang baru dipelajari pada peringkat perkembangan.
3.2.Aktiviti rumusan, aktiviti pengukuhan atau aktiviti susulan harus dirancang
dengan teliti supaya penutup kognitif dapat dilaksanakan dengan licin dan berkesan.
3.3.Di samping penutup kognitif, penutup sosial juga harus disediakan untuk
peringkat akhir pelajaran.
3.4.Kecuali aktiviti pengukuhan atau aktiviti susulan yang hendak dijalankan
dalam kelas, tempoh masa untuk melaksanakan penutup kognitif dan penutup sosial tidak harus melebihi 5 minit.

3.4.Aktiviti penilaian juga boleh diadakan pada peringkat penutup dengan tujuan
untuk mengukur hasil pencapaian objektif pelajaran.
4.0 OBJEKTIF-OBJEKTIF KEMAHIRAN PENUTUP.
4.1 Menarik perhatian pelajar terhadap apa yang baru dipelajari supaya
mereka mendapat satu gambaran yang lebih jelas dan menyeluruh.
4.2 Mengukuhkan konsep atau kemahiran yang baru dipelajari dengan merumuskan fakta-fakta penting atau memberikan kerja bertulis.
4.3. Mewujudkan perasaan pencapaian dan kejayaan di kalangan pelajar dengan menggunakan teknik peneguhan.
4.4.Menggunakan aktiviti penilaian untuk menilai pencapaian objektif pelajaran serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran supaya pelajar dapat membuat pengubahsuaian serta membaiki pelajarannya pada masa depan.
4.5 Dengan adanya bahagian penutup ini, aktiviti-aktiviti susulan akan dapat
diadakan supaya pelajar diberi peluang mengaplikasikan konsep dan kemahiran yang mereka baru pelajari.
5.0 KESAN PENUTUP KE ATAS PENGAJARAN & PEMBELAJARAN
-Jika objektif-objektif penutup dapat dicapai dengan memuaskan, maka beberapa
kesannya dapat diperlihatkan seperti berikut :-

5.1 Melalui aktiviti susulan, pelajar-pelajar dapat mengukuhkan kemahiran atau konsep yang baru dikuasai.
5.2 Dengan menggunakan kesimpulan kognitif, pelajar-pelajar dapat membuat rumusan terhadap fakta-fakta penting yang dipelajari.
5.3 Dengan menggunakan kesimpulan sosial, seperti memberi pelajar suatu perasaan pencapaian, mereka telah dimotovasikan supaya terus berusaha dan mencuba.
5.4 Melalui aktiviti penilaian, guru dapat mentafsirkan pencapaian objektif pelajaran yang ditentukan. Keputusan penilaian ini akan membolehkan guru membuat pengubahsuaian untuk rancangan pelajaran yang akan datang.
6.0 KOMPONEN –KOMPONEN KEMAHIRAN PENUTUP.
6.1 Kemahiran penutup mengandungi dua komponen yang utama iaitu komponen perkaitan kognitif dan komponen perkaitan sosial.
7.0. CARA PENGENDALIAN PENGAJARAN MIKRO
7.1 Guru pelatih yang memilih latihan penguasaan kemahiran penutup dalam sesi pengajaran mikro harus merancang aktiviti penutup yang berasaskan andaian bahawa pelajar-pelajar baru sahaja selesai menguasai satu-satu konsep atau kemahiran.
8.0 BORANG BIMBINGAN KEMAHIRAN PENUTUP
.
Komponen dan Kriteria Kemahiran Penutup
Ada
(sesuai)
Ada
(Tidak sesuai)
Tidak
ada
Perkaitan kognitif



1. Membuat rumusan
2. Mengulangi isi-isi penting
3. Menjalankan aktiviti penilaian



4. Mencadangkan aktiviti susulan



5. Menjalankan aktiviti pengukuhan



Perkaitan sosial



1. Menimbulkan perasaan pencapaian pelajar



2.Memberi peneguhan posoitif



3. Mewujudkan perasaan ingin tahu



4. Memotivasikan perasaan ingin belajar



5. Mengaitkan dengan pelajaran yang akan datang



Tandakan ( / ) pada ruang yang berkenaan

Rabu, 14 Mei 2014

KECEKALAN DIRI DALAM SISC+ BM

Bulan Mei 2014 - Banyak aktiviti bengkel bimbingan yang telah dirancang oleh Unit Akademik PPD Batu Pahat dan SISC+ BM PPD BP untuk guru-guru sekolah rendah dan sekolah menengah di daerah Batu Pahat.  Antaranya:
1.  Pembugaran Tatatbahasa BM kepada 144 orang guru sekolah rendah pada 10.5.2014
(Penceramah: Encik Ramli Yahya)
2.  Majalah Dalam Kelas - Guru Kreatif Pelajar Aktif kepada 100 orang guru sekolah menengah pada 15.5.2014 (Penceramah: Encik Ramli Yahya)
3.  Pembugaran Tatabahasa BM kepada 100 orang guru sekolah menengah pada 22.5.2014 (Penceramah: Encik Ramli Yahya)
4. Majalah Dalam Kelas - Guru Kreatif Pelajar Aktif kepada 144 orang guru sekolah rendah pada 24.5.2014 (Penceramah: Encik Ramli Yahya)

Menyampaikan ceramah, berkongsi ilmu, berbincang dari hati ke hati melalui pertemuan ini menjadi pemangkin kejayaan PPPM.

Isnin, 17 Februari 2014

SISC+ DAN SEBAHAGIAN TUGASKU



Apa itu SISC+? 
School Improvment Specialist Coaches +
Program SISC ataupun dikenali sebagai Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (School Improvement Specialist Coaches) telah dimulakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sejak awal tahun 2011 di bawah inisiatif sub NKRA GTP 1.0. Guru-guru yang telah dilantik sebagai Pegawai SISC+ ini akan mendapat latihan berterusan dalam memantapkan lagi ilmu pedagogi dan kurikulum. Mereka ini ditugaskan memantau dan membimbing guru-guru di sekolah-sekolah (khususnya sekolah berprestasi rendah) iaitu dalam band 6 dan 7.


Apa perbezaan SISC dan SISC+?
Rentetan daripada kejayaan program SISC di bawah GTP 1.0, kelangsungan bidang keberhasilan utama NKRA diteruskan di bawah GTP 2.0 dan jawatan SISC+ diperkenalkan secara sepenuh masa dan bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah, dengan 2 negeri rintis telah pun berjalan sepenuhnya di Kedah dan Sabah pada tahun 2013. Menjelang 2014, program ini akan dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara.


Bagaimana SISC+ dapat menjadi agen mengupaya JPN dan PPD?
Kewujudan jawatan ini juga adalah di bawah anjakan ke 6 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu Mengupaya JPN dan PPD. Guru-guru yang terpilih akan ditempatkan sepenuh masa di PPD, tetapi tidak akan terlibat langsung dengan pengurusan PPD. SISC+ ini akan memantau sekolah di bawah jagaan nya 4 hari untuk seminggu. Manakala 1 hari lagi diperuntukkan untuk berada di pejabat, membuat laporan dan juga bermesyuarat. Buat sementara waktu ini, SISC+ ini hanya dibuka untuk 3 subjek teras sahaja, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik. Bidang tugas mereka adalah untuk membimbing guru dalam aspek pedagogi, PBS, KSSR dan sebagai penghubung terus pihak Kementerian dengan sekolah. 

Ahad, 16 Februari 2014

AKU DAN SISC+ (sempena hari pertama menjawat jawatan baharu)

Semalam secara rasmi saya bertugas sebagai SISC+ di Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat.  Tugas yang lebih mencabar dan tanggungjawab yang lebih besar memerlukan komitmen yang lebih tinggi untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara.  Ya Allah, berikan kekuatan fizikal, mental, emosi, dan spritual untuk terus mengharungi cabaran dunia pendidikan hari ini dan hari esok.

Selasa, 11 Februari 2014

GELIGA VS RENGIT

12.2.2014 jam 6.15 pagi, Dari sebuah bilik yang sunyi di sebuah rumah yang kecil, di sebuah pekan yang riuh di Rengit, aku teringatkan kampung halaman di sebuah kampung yang nyaman di Geliga, Kemaman, Terengganu. Jika dihitung hari yang berlalu, rupanya sudah hampir 20 tahun aku telah berada di bumi Johor ini.  Sudah lama juga rupanya aku berada di sini...SEMUANYA MASIH MENYEDIAKAN JALAN YANG LUAS UNTUK AKU LALUI...

Rabu, 22 Januari 2014

DEKLAMASI SAJAK SEMPENA PELANCARAN PROGRAM BAHASA SMKS 2014



Sajak Bahasa Itu Ilmu
oleh Ramli Yahya


Bahasa itu ilmu
Bahasa boleh tunjuk ajar
Bahasa boleh menunjuk-nunjuk
Bahasa boleh merajuk-rajuk
Bahasa juga boleh dibuat pujuk-memujuk


Bahasa itu indah
Bahasa terbina dalam sia sekata
Bahasa terhurai dalam fikiran
Bahasa terjelma dalam ucapan
Bahasa terbentuk dalam tamadun bangsa



Biarlah;
Bahasa itu tetap anggun dalam komunikasi
Biarlah;
Bahasa itu tetap bijak meneroka desa dan kota
Biarlah;
Bahasa itu tetap sebati bersama nakhoda
          Melayari samudera dengan bahasa alam
Merentas dunia dengan penuh wawasan.
Bersatulah bahasaku dan bahasamu.

Selasa, 21 Januari 2014

BIJAK BICARA ANGGUN KOMUNIKASI











"Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pelajar SMK. Senggarang, sempena pelancaran Program Bahasa 2014 ini, saya ingin mencoretkan untaian kata sebagai wadah setia pembugar minda:

“Mencari ilmu ibarat mendayung sampan menuju pangkalan. Sampan yang baik dan lengkap disertakan dayungan yang sistematik mampu meluncur laju menuju satu destinasi - Destinasi Ilmu, Destinasi Iman, dan Destinasi Amal" – Ramli bin Yahya, Guru Cemerlang BM.