Jumaat, 3 April 2009

BUAT RAKANKU - TUGAS KITA TUGAS MULIA

Semalam pada 7.4.2009 saya bersama-sama rakan sejawat di SMK. Senggarang, Batu Pahat mengadakan Mesyuarat Panitia Bahasa Melayu Kali-3 Tahun 2009. Mesyuarat dipengerusikan oleh Cik Rafedah binti Ibrahim. Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Guru Kanan Bidang Bahasa, Encik Mispan bin Karsan dan Guru Kanan Bidang Sains Sosial, Tuan Haji Omar bin Ponamin serta semua guru Bahasa Melayu dari tingkatan satu hingga ke tingkatan enam. Banyak perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu. Saya juga mengambil kesempatan untuk menyuarakan beberapa pandangan dan cara kita untuk bertindak:
1. Isu kelemahan pelajar untuk membaca - saya mencadangkan agar setiap kelas dibekalkan Dewan Siswa. Peringkat percubaan, saya mencadangkan kelas tingkatan lima dan tingkatan tiga akan dibekalkan satu majalah setiap kelas. Jika program ini berjaya, saya akan mengangkat program ini ke peringkat sekolah dengan semua tingkatan akan dibekalkan majalah Dewan Siswa secara percuma. Saya sanggup menyiapkan kertas cadangan ringkas untuk disemak dan disahkan oleh Pemangku Pengetua. (saya telah masukkan kertas cadangan ini dalam blog ini)
2. Isu cara penulisan rancangan harian yang standard bagi semua tingkatan. - saya mencadangkan agar satu pertemuan untuk bengkel penulisan rancangan harian, pemilihan bahan dapat diadakan segera. Rancangan pelajaran ini boleh diubah suai. Walau bagaimanapun, elemen penting dalam cadangan ini telah ditetapkan oleh Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK) dan Jemaah nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK). Saya telah masukkan contoh penulisan rancangan harian dalam blog ini.
Rakan-rakan sejawat saya yang budiman, terima kasih atas segala usaha untuk terus mengekalkan pencapaian Bahasa Melayu melebihi 90% setiap tahun sama ada peperiksaan PMR atau SPM malah peperiksaan STPM. Orang lain tak tahu susah payah kita untuk mengajarkan Bahasa Melayu di bilik darjah. Nak tanda karangan bergambar lagi, karangan respons terbuka lagi, rumusan/ringkasan lagi, tatabahasa lagi, komsas lagi, kajian novel lagi. Kena buat kerja-kerja program bahasa di peringkat sekolah, daerah, negeri, dan kebangsaan (jika ada). Tak apalah, saya berharap orang lain akan faham tugas kita nanti. Sebagai, Guru Cemerlang BM saya telah melalui banyak situasi dan pengalaman ini. Jadi, jika rakan-rakan mempunyai masalah tentang proses pengajaran dan pembelajaran dan permasalahan bahasa Melayu, kita boleh berbincang. kita juga ada Guru Kanan Bidang Bahasa yang prihatin terhadap tugas kita. Guru yang mengajarkan Bahasa Melayu lebih faham masalah kita. Cikgu lain sedang belajar untuk memahami kita. Buatlah yang terbaik untuk diri sendiri, pelajar, rakan sejawat, dan organisasi. Saya tetap mendoakan agar kita akan menemui sinar dalam perjalanan kita ini, insya-Allah. Selamat maju jaya buat rakanku yang msih sudi mengangkat dan mengekalkan martabat bahasa Melayu dalam perlembagaan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan