Jumaat, 3 April 2009

TERIMA KASIH BUAT SAHABATKU

Lima tahun ke belakang ini banyak yang aku pelajari daripada sabahatku. Ilmu perkomputerannya memang hebat. Aku banyak belajar daripadanya. Daripada nak menulis catatan Word hinggalah nak membuat Power Point, aku terpaksa belajar daripadanya. Aku dah pandai sikit hasil ketekunan aku untuk memperoleh ilmu ini. Dua tahun lalu, aku diajar olehnya tentang e-mel. Daripada cara nak menulis hinggalah menghantar kepada rakan-rakan. Satu lagi ilmu baharu aku peroleh daripadanya. Semalam, aku dan seorang kawan kat taman perumahan ini ke rumahnya untuk belajar membuat blog. Si Sahak ni, sekali tengok dah faham. Aku masih terkial-kial nak mencuba. Akhirnya, Si Sahak dah siap dengan blognya yang hebat dan canggih. Sahabatku ini tidak berputus asa. Dia bantu aku hinggalah lahir sebuah blog yang ada pada hari ini. Walaupun dia terlalu sibuk dengan urusan peribadi dan keluarga, dia sanggup membantu aku. Kini, aku ada empat laptop (Satu aku punya, satu lagi isteri aku punya, satu lagi tu milik anak aku yang sulung, dan yang terakhir tu milik anak aku yang tengah) dan satu komputer peribadi (PC) milik anak bongsuku yang sedang belajar di Tahun Empat di Rengit. Semua komputer aku diselenggarakan oleh sahabatku ini. Banyak jasanya pada aku. Bukan aku sahaja, malah kawan-kawan kat taman ni pun minta tolongnya. Dia pulak ringgan tulang. Selalu tolong orang. Tak kira siang, tak kira malam. Si Sahak tu pun selalu minta tolong dia. Dia pun digelar 'canggih man' ada PC, ada internet kat rumah, ada PDA, semua yang canggih ada pada dia. Kepada sahabat yang telah banyak membantu aku dalam mengajarkan e-mel dan blog ini, aku secara peribadi merakamkan ucapan jutaan terima kasih daun keladi. Segala budi baikmu akan selalu aku abadikan dalam memori ini. Halim bin Hashim, rakan-rakan kita bangga mempunyai sahabat yang begitu hebat dan sanggup membantu orang yang dalam kesusahan. Terima kasih, Halim: Tuhan sahaja akan membalas jasa baikmu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan