Khamis, 2 April 2009

KAJIAN NOVEL SPM 2009


MODUL KAJIAN NOVEL
PEPERIKSAAN SPM 1103/2

KANDUNGAN MODUL

BAHAGIAN A
Panduan penggunaan modul
Strategi menjawab soalan
Panduan pemarkahan

BAHAGIAN B
Analisis soalan 2004 hingga 2008
Tajuk-tajuk tumpuan 2009

BAHAGIAN C
Contoh-contoh soalan novel Di Hadapan Pulau dan contoh jawapan
Contoh-contoh soalan novel Putera Gunung Tahan dan contoh jawapan



BAHAGIAN A

PANDUAN PENGGUNAAN MODUL KAJIAN NOVEL
1. Modul ringkas ini memuatkan contoh-contoh soalan berkaitan aspek sastera dalam kedua-dua buah novel iaitu novel Di Hadapan Pulau (Tingkatan Empat) dan novel Putera Gunung Tahan (Tingkatan Lima).
2. Semua pelajar diwajibkan membaca teks kedua-dua buah novel ini untuk memahami jalan cerita, aspek sastera, dan mesej yang tersurat serta mesej yang tersirat daripada kedua-dua buah novel tersebut.
3. Modul ini mengemukakan beberapa contoh soalan dan jawapan sebagai panduan kepada pelajar. Pelajar digalakkan mencari soalan-soalan tambahan untuk memantapkan pemahaman dalam kajian novel ini.

OBJEKTIF PENGGUNAAN MODUL KAJIAN NOVEL

Murid-murid mengetahui format soalan peruntukkan markah setiap pecahan soalan dalam kajian novel.

Mendedahkan murid-murid dengan soalan-soalan peperiksaan Bahasa Melayu kertas 1103/2 dan cara menjawab dengan tepat.

3. Murid-murid memperoleh keyakinan diri untuk menjawab soalan kajian novel dalam peperiksaan SPM 2009.




STRATEGI MENJAWAB SOALAN KAJIAN NOVEL

1. Soalan 4 dibahagikan kepada DUA soalan kecil iaitu 4a dan 4b. Kedua-dua soalan ini menguji aspek sastera dan kemahiran kreatif dan kritis. Calon wajib menjawab kedua-dua soalan yang dikemukakan.
2. Setiap pecahan soalan memperuntukkan 7 markah dan 8 markah. Calon perlu menjawab soalan ini dalam bentuk esei. Setiap jawapan MESTI disertakan dengan huraian, bukti, atau contoh yang sesuai dan berkaitan dengan teks novel yang dikaji.
3. Calon perlu mengenal pasti kata kunci soalan (huraikan, nyatakan, kemukakan, senaraikan, dan sebaginya). Selepas itu, kenal pasti aspek sastera yang diuji (tema, persoalan, latar, nilai, pengajaran, gaya bahasa, perwatakan, dan aspek KBKK iaitu pendapat, pandangan, perbandingan, persamaan, persetujuan, dan sebagainya). Penggunaan bahasa sangat dititikberatkan. Kesalahan ejaan, imbuhan, tanda baca, dan aspek tatabahasa yang lain boleh menjejaskan pemberian markah bahasa.
4. Gariskan setiap kata kunci soalan, fikirkan isi jawapan serta bukti, dan sediakan rangka jawapan untuk mengelakkan calon terlupa ketika menghuraikan isi jawapan.

PANDUAN PEMARKAHAN KAJIAN NOVEL

Cara pemberian markah kajian novel:
1. Contoh soalan 4a (7 markah)
Isi yang diperlukan sekurang-kurangnya 2 (Isi yang tepat + huraian/contoh/bukti). Setiap isi yang tepat akan diberikan 2 markah. Manakala markah bahasa dinilai secara impression (pemerhatian):
Markah 3 untuk bahasa yang baik
Markah 2 untuk bahasa yang sederhana
Markah 1 untuk bahasa yang lemah

Contoh pengiraan:
Isi = 4 markah
Bahasa = 3 markah
Jumlah = 7 markah
2. Contoh soalan 4b (8 markah)
Isi yang diperlukan sekurang-kurangnya 3 (Isi yang tepat + huraian/contoh/bukti). Setiap isi yang tepat akan diberikan 2 markah. Manakala markah bahasa dinilai secara impression (pemerhatian):
Markah 1 untuk bahasa yang baik
Markah 2 untuk bahasa yang kurang baik
Contoh pengiraan:
Isi = 6 markah
Bahasa = 2 markah
Jumlah = 8 markah

4. Calon digalakkan mengemukakan isi yang banyak dan isi yang lengkap (isi + huraian/bukti). Hal ini untuk mengelakkan pengurangan markah akibat kesalahn isi.



BAHAGIAN B

ANALISIS SOALAN KAJIAN NOVEL 2004 HINGGA 2008

TAHUN
SKOP SOALAN (ASPEK SASTERA / KBKK)
2004
4a
Tiga Nilai kasih sayang (NILAI)
4b
Bagaimana watak utama menyelesaikan konflik (KBKK)
2005
4a
Dua peristiwa paling menarik (KBKK)
4b
Perbandingan latar tempat dua buah novel (LATAR)
2006
4a
Pengajaran daripada salah satu novel (PENGAJARAN)
4b
Satu persoalan dalm dua buah novel (PERSOALAN)
2007
4a
Dua peristiwa yang dapat dikaitkan dengan persoalan maruah (PERSOALAN)
4b
Berdasarkan dua buah novel, huraikan cara watak utama menyelesaikan satu konflik yang dihadapinya (KBKK)
2008
4a
Dua sebab bahagian permulaan novel menarik minat anda (KBKK)
4b
Perbandingan dan Persamaan SATU latar masyarakat dalam dua buah novel yang anda kaji (LATAR)


TAJUK TUMPUAN TAHUN 2009

1. Watak dan perwatakan
a. Keistimewaan watak utama
b. Watak utama
c. Watak sampingan
d. Peranan watak sampingan membantu watak utama


2. Gaya bahasa
a. Fungsi gaya bahasa
b. Jenis-jenis gaya bahasa dalam cerita

3. Plot
a. Teknik plot
b. Fungsi teknik plot dalam cerita

4. Latar masa
a. Persamaan latar masa
b. Perbezaan latar masa

5. Nilai murni
a. Perbandingan nilai dalam novel
b. Peristiwa berkaitan nilai murni

BAHAGIAN C

CONTOH SOALAN NOVEL DI HADAPAN PULAU DAN CADANGAN JAWAPAN

Soalan 1 DHP
Huraikan salah satu watak sampingan yang terdapat dalam novel yang anda kaji. (7m)

Cadangan jawapan:
Novel yang saya kaji ialah novel Di Hadapan Pulau. Watak sampingan yang saya pilih ialah Tuk Marzuki. Beliau seorang yang bertanggungjawab dan beramanah. Hal ini dapat dibuktikan apabila beliau sanggup memelihara cucunya, Afidah yang kehilangan ayah dan ibu. Selain itu, Tuk Marzuki seorang yang mudah bersimpati terhadap nasib orang lain. Hal ini dapat dilihat apabila beliau amat mengambil berat terhadap Aziz yang telah kehilangan kedua-dua orang tuanya dan sanggup memenuhi permintaan Afidah dan Aziz untuk ke pulau Jakun. Tuk Marzuki juga seorang yang berani menghadapi cabaran. Hal ini dapat dibuktikan apabila beliau sanggup ke Merlimau untuk mendapat bekalan makanan walaupun ketika itu zaman peperangan. Beliau juga seorang yang mahir dalam sejarah tanah air khususnya zaman kesultanan Melaka. Beliau meninggal dunia akibat terkena bom.

Soalan 2 DHP
Huraikan watak utama yang terdapat dalam novel yang anda kaji. (8m)

Cadangan jawapan:
Novel yang saya kaji ialah novel Di Hadapan Pulau. Watak utama ialah Aziz. Aziz berusia 13 tahun dan telah ditinggalkan oleh ibu dan bapanya. Dia seorang yang rajin. Hal ini dapat dibuktikan apabila dia sentiasa membantu Syed Fikri menanam sayur untuk mendapatkan bekalan makanan. Dia juga seorang yang mempunyai sifat suka menolong orang lain. Hal ini dapat dibuktikan apabila dia sentiasa membantu orang kampung membina kubu atau tempat perlindungan daripada serangan Jepun. Aziz juga sangat menyayangi sahabatnya Afidah dan Tuk Marzuki. Hal ini terbukti apabila dia sentiasa bersama-sama Afidah menziarahi kubur Tuk Marzuki di tanah perkuburan dan menasihati Afidah supaya bersabar atas pemergian Tuk Marzuki. Aziz seorang yang bercita-cita untuk berhijrah ke pulau Jakun. Hali ini terbukti apabila dia selalu menghabiskan masa bersiar-siar di tepi pantai yang mengadap ke arah pulau dan meminta jasa baik Tuk Marzuki untuk membawanya ke pulau tersebut. Aziz juga seorang yang sabar dan tabah menghadapi hidup dalam zaman peperangan. Hal ini terbukti apabila Aziz sanggup tinggal di rumah keluarga angkat dan sanggup mencari makanan di kubu lama untuk mengisi perut.


Contoh-contoh soalan novel Putera Gunung Tahan dan contoh jawapan

Soalan 1 PGT
Huraikan pengajaran yang terdapat dalam novel yang anda kaji. (8m)

Novel yang kaji ialah Putera Gunung Tahan. Terdapat banyak pengajaran yang dikemukakan oleh pengarang dalam novel ini. Antaranya ialah kita hendaklah cinta akan tanah air atau negara kita sendiri. Hal ini dapat dibuktikan melalui watak utamanya iaitu Ratu Bongsu yang bertegas tidak membenarkan orang Inggeris membina tempat peranginan di puncak Gunung Tahan.Ratu Bongsu walaupun ditawarkan dengan harta yang banyak. Beliau tidak terpengaruh dengan pemberian wang ringgit, pangkat, dan kemewahan yang dijanjikan oleh pihak Inggeris. Selain itu, kita hendaklah berani mempertahankan pegangan agama yang kita anuti. Hal ini dapat dibuktikan melalui watak perempuan Tua yang sanggup berhujah dengan Tuan Robert tentang kemuliaan agama Islam berbanding dengan agama Kristian. Selain itu juga, kita hendaklah sentiasa menolong orang yang hidup dalam kesusahan. Hal ini dapat dibuktikan melalui watak Perempuan Tua yang sudi menyelamatkan Tuan Robert yang hampir dibunuh oleh orang Sakai. Contoh lain ialah, Ratu Bongsu sanggup membantu Mem William yang cedera parah apabila kapal terbangnya terhempas dalam serangan di puncak Gunung Tahan.


Soalan 2 PGT
Huraikan keistimewaan watak utama yang terdapat dalam novel yang anda kaji. (8m)

Novel yang saya kaji ialah novel Putera Gunung Tahan. Watak utama dalam novel ini ialah Ratu Bongsu. Terdapat banyak keistimewaan dalam novel yang saya kaji ini. Antara keistimewaan watak ratu Bongsu ialah Ratu Bongsu seorang pemimpin yang bertanggungjawab terhadap rakyat jelata. Hal ini dapat dibuktikan apabila puncak Gunung Tahan akan diserang oleh pihak Inggeris, beliau telah meminta semua orang bunyian melarikan dan menyelamatkan diri ke dalam hutan. Keistimewaan kedua ialah, Ratu Bongsu telah bertindak tegas terhadap orang Inggeris yang diwakili oleh Tuan William dengan tidak membenarkan orang Inggeris membina tempat peranginan di puncak Gunung Tahan. Beliau sanggup menolak tawaran pangkat dan wang ringgit yang dijanjikan oleh Inggeris demi mempertahankan bangsa dan tanah air daripada penjajahan Inggeris. Ratu Bongsu juga seorang yang penyayang. Beliau sangat menyayangi ibunya dan selalu meminta pendapat ibunya sebelum mengambil apa-apa tindakan. Beliau juga amat menyayangi Mem William. Walaupun Mem William merupakan isteri musuhnya, tetapi sebagai manusia dia sanggup membantu Mem William yang menghadapi musibah dan bersedia mengambil Mem William sebagai isterinya. Ratu Bongsu juga seorang yang mudah membantu orang yang dalam kesusahan. Hal ini terbukti apabila beliau sentiasa membantu Tuan William mendapatkan peralatan untuk menghubungi isterinya yang berada di London. Beliau sanggup beminjamkan teropong terus kepada Tuan William untuk melihat isterinya yang jauh di mata.

Soalan 3 PGT
Gaya bahasa memainkan peranan penting dalam memastikan keistimewaan sesebuah karya. Berdasarkan novel yang anda kaji, bincangkan kepelbagaian gaya bahasa dalam novel tersebut. (8m)

Berdasarkan novel Putera Gunung Tahan, terdapat pelbagai gaya bahasa yang telah digunakan untuk menarik minat pembaca dan telah memberikan kesan yang mendalam kepada pembaca.

Antara gaya bahasa yang digunakan ialah gaya bahasa dialog. Hal ini dapat dibuktikan melalui perbualan antara watak seperti Tuan William dan tuan Robert ketika bermalam di dalam gua dan perbualan tentang agama Islam dan agama Kristian antara Tuan Robert dengan Perempuan Tua. Selain itu, penggunaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris. Hal ini dapat dilihat daripada penggunaan “Good morning old lady” iaitu ucapan Tuan Robert kepada Perempuan Tua. Selian itu juga, penggunaan bahasa istana telah diselitkan dalam novel ini. Hal ini dapat dibuktikan melalui ungkapan “Ampun tuanku beribu-ribu aampun, kedatangan patik mencemarkan istana tuanku ini harap mendapat ampun”. Penggunaan bahasa simile. Hal ini dapat dibuktikan melalui penggunaan kata seperti, umpama, bagai, dan bak. Contoh yang terdapat dalam novel yang saya kaji ialah padang-padang yang luas seperi permaidani permaidani terbentang.


Contoh-contoh soalan perbandingan dua buah novel

Soalan 1 : DHP dan PGT

Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan tema yang terdapat dalam kedua-dua buah novel tersebut.

Kedua-dua buah novel yang saya kaji ialah Di Hadapan Pulau dan Putera Gunung Tahan. Dalam novel DHP, tema yang diketengahkan oleh pengarang ialah penderitaan hidup semasa pemerintahan tentera Jepun di Tanah Melayu. Hal ini dapat dilihat apabila rakyat menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan dan menghadapi tekanan perasaan. Buktinya dapat dilihat apabila Kapten Hebat terpaksa memakan Mokmeng (monyet) untuk meneruskan hidup. Begitu juga Taksiah yang terpaksa menggadaikan maruah diri kepada tentera Jepun untuk meneruskan kelangsungan hidup akibat penjajahan tentera Jepun. Walau bagaimanapun, ketabahan dan kecekalan Aziz dan Afidah dalam mengharungi penderitaan hidup perlu dipuji. Mereka berdua berusaha gigih untuk mendapatkan bekalan makanan dengan membantu Syed Fikri menanam sayur di kawasan rumahnya. Aziz dan Afidah juga sanggup mencari makanan di kawasan kubur lama untuk terus hidup dalam zaman peperangan ini.

Dalam novel PGT, temanya ialah semangat cinta akan tanah air dan sanggup mempertahankannya daripada dijajah oleh penjajah British. Hal ini dapat dilihat melalui watak ratu Bongsu yang berpendirian tegas tidak menyerahkan puncak Gunung Tahan kepada pihak British walaupun ditawarkan dengan wang ringgit dan ganjaran yang lumayan. Sebagai pemimpin puncak Gunung Tahan, beliau telah mengatur strategi untuk mengelakkan pencak Gunung Tahan jatuh ke tangan British. Ratu Bongsu juga sentiasa meminta pendapat orang yang lebih tua untuk menguruskan kepimpinannya dengan meminta pendapat Perempuan Tua. Di samping itu, beliau merupakan pemimpin yang baik dan berjiwa rakyat. Beliau telah meminta semua pengikutnya lari meninggalkan puncak Gunung Tahan untuk menyelamatkan diri apabila kawasan itu akan diserang oleh tentera British. Kesediaannya untuk tinggal bersama-sama Kusina ketika puncak Gunung Tahan dibom membuktikan bahawa beliau seorang yang mempunyai semangat patriotik yang tinggi untuk mempertahankan tanah air.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan