Rabu, 8 April 2009

KETUA KITA PEMIMPIN KITA

Sejak saya menjadi penjawat awam sebagai guru sekolah rendah di salah sebuah sekolah daerah Kemaman, Terengganu awal tahun 1988 iaitu SK. Kg. Baharu Felda Neram 1, Kemaman, Terengganu. Barulah saya tahu rukun dan cara bekerja sebagai kakitangan awam. Ketika itu, Encik Mohd. Zin bin Mohammad sebagai Ketua Jabatan saya yang pertama (Guru Besar saya yang pertama). Sebagai guru baharu ketika itu, saya banyak memerhatikan gaya kepimpinannya. Kepimpinannya hebat dan banyak memberikan panduan bekerja yang baik kepada kakitangan bawahannya. Mungkin juga, sekolah itu baru dibuka pada tahun pertama saya di sekolah itu. Seronok saya mengajar di situ. Di sebuah kawasan felda (KETENGAH) yang baharu. Saya patuh kepada ketua saya. Hari pertama persekolahan hingga guru besar pertama berpindah ke Chukai, Kemaman, saya menjadi guru nombor SATU yang datang awal ke sekolah. Guru besar yang kedua, Encik Abd. Wahid bin Kassim. Guru besar termuda di daerah Kemaman ketika itu. Ketua bermotivasi tinggi. Saya seronok bekerja di bawah beliau. Sedia memberikan kepercayaan untuk menguruskan kurikulum dan kokurikulum. Banyak saya belajar tentang pengendalian peperiksaan UPSR. Saya patuh kepada ketua saya. Saya masih menjadi orang nombor SATU datang awal ke sekolah hingga beliau berpindah ke Paka, Dungun. Encik Ramlan bin Ramli datang mengetuai kepimpinan baharu di sekolah itu. Hebat dalam pengurusan pentadbiran. Banyak saya belajar tentang pengurusan pentadbiran dan kerja-kerja pejabat. Saya patuh kepada ketua saya. Saya juga tetap menjadi orang nombor SATU datang awal ke sekolah hinggalah saya menyambung pelajaran di peringkat ijazah. Kalau boleh nak selalu datang awal ke bilik kuliah di UPM. Budaya datang awal saya bawa pula apabila mengajar di SMKS, Batu Pahat. Puan Hajah Alimah binti Ghani, telah banyak membimbing saya menjadi guru sekolah menengah yang baik. Telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk memimpin Panitia Kesusasteraan Melayu dan mengajar kelas peperiksaan. Banyak menasihati saya agar menjaga kerjaya guru dengan baik dan cemerlang. Saya patuh kepada ketua saya. Saya telah meneruskan gaya bekerja saya untuk menjadi orang nombor SATU datang awal. Saya berjaya memupuk budaya datang awal dalam tempoh yang singkat sahaja. Persaraan Puan Hajah Alimah Ghani diganti oleh Tuan Haji Selamat Mansor. Gaya kepimpinan yang bercorak pengagihan sedikit kuasa kepada guru lain telah memberikan impak yang baik dalam meneruskan kepimpinannya. Banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada beliau. Ramai guru yang berjaya dinaikkan pangkat dalam tempoh pentadbiran beliau. Bagi saya, amanah telah diberikan kepada saya untuk memimpin Ketua Panitia Bahasa Melayu dan Persatuan Melayu. Malah menjadi Penyelaras Majalah Semarak. Saya patuh kepada ketua saya. Sepanjang kepimpinan beliau juga, saya tetap menjadi orang nombor SATU yang duduk di bilik guru membuat kerja rutin guru. Persaraan Tuan Haji Selamat Mansor telah diganti oleh Puan Hajah Hawa binti Haron. Beliau banyak menurunkan kuasa ke peringkat bawahan untuk menjayakan apa juga bidang akademik, kokurikulum, dan aspek disiplin. Kaedah ini berjaya mewujudkan suasana yang baik dan sentiasa mengekalkan kedudukan selamat. Sepanjang beliau di SMKS, banyak kejayaan tercatat sama ada di peringkat daerah, negeri, dan kebangsaan. Semasa beliau di sini, tugas dan amanah yang diberikan kepada saya makin berat. Saya patuh kepada ketua saya. Saya masih menjadi orang nombor SATU datang awal di sekolah. Persaraan beliau telah membawa kehadiran sebutir permata ke SMKS. Tuan Haji Hassan bin Topit. Pengalaman yang banyak daripada beberapa buah sekolah menengah Batu Pahat, Johor Bahru, dan Mersing telah dibawa bersama. Daripada sekolah harian biasa hingga sekolah berasrama penuh. Pengalaman terkumpul itu telah dicurahkan sepenuhnya dalam pentadbirannya sebagai Pengetua Cemerlang Pertama SMKS. Saya menjadi pemerhati yang paling rapat dengan gaya kepimpinan beliau. Cukup berbeza dengan apa yang telah dibawa oleh pemimpin sebelum ini. Berkomitmen tinggi, Berprosedur, Berintegriti, Tegas dan Berprinsip, Berilmu, dan Bermaklumat. Mungkin ini sebahagian sahaja pemerhatian yang dapat saya catat. Saya banyak belajar daripada pemerhatian ini. Daripada kehebatan menyampaikan ilmu, maklumat, dan pengalaman kepada kamib di sekolah hingga ke pentas daerah, negeri, dan kebangsaan. Perkongsian ilmu tidak diabaikan. Setiap kali mesyuarat, ada mesej baharu perlu diterjemahkan oleh guru. Terlalu seronok mendapat ketua seperti beliau. Hari ini, saya tidak lagi menjadi pemerhati kepada sikap ketua saya itu, tapi sebahagiannya saya menterjemahkan dalam pengurusan sekolah. Saya patuh kepada ketua saya. Sepanjang beliau di SMKS, saya kekal menjadi orang nombor SATU datang awal ke sekolah hinggalah beliau berpindah ke SM Sains, Bandar Penawar, Kota Tinggi. Kami kehilangan santapan jiwa yang pernah dibawa oleh beliau. Tempoh setahun belum cukup untuk mengubah pejal jiwa yang baru tersiram air penawar. Insya-Allah, kita pasti akan berjaya suatu hari nanti. Bagi saya, saya kehilangan seorang ketua yang saya anggap rakan perbincangan motivasi pagi bagi meningkat kerjaya diri sepanjang hari. Hingga kini, sekolah saya tak ada ketua lagi. Siapa yang datang, kami telah bersedia untuk menterjemahkan misi dan visi serta tag sekolah yang dibawa oleh Tuan Haji Hassan bin Topit. Saya patuh kepada ketua saya. Saya tetap akan menjadi orang nombor SATU menunggu di pintu pejabat sekolah selagi termampu. Biarpun hujan dan ribut melanda. Saya suka datang awal. Kata arwah ibu saya, menjadi orang nombor SATU banyak kebaikannya. Kenapa saya suka datang awal ke sekolah? Walaupun dulu saya baru berkahwin, walaupun dulu saya ada anak kecil, walaupun dulu saya hanya bermotosikal, dan walaupun kini anak-anak saya sudah besar, saya tetap akan menjadi guru nombor SATU datang awal ke sekolah. Itulah janji saya, selagi saya termampu. Sebabnya, datang awal ke sekolah untuk mencari rezeki seawal pagi ibarat burung keluar pagi mencari makanan untuk anak-anaknya yang kelaparan di sarang...menanti kepulangan ibu bapa membawa rezeki seawal pagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan