Jumaat, 10 April 2009

ISI TEKS UCAPAN JKD BM

Isi Penting Teks Ucapan oleh Puan Hajah Jananainah binti Haji Parkan, Pemangku Pengetua SMK. Senggarang, Batu Pahat Merangkap Timbalan Pengerusi JKD Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu Batu Pahat.
di
Majlis Perasmian Penutup Kursus Pemantapan Pedagogi Bahasa Melayu kepada Guru-guru Bukan Opsyen Bahasa Melayu dan Guru-guru Baharu Daerah Batu Pahat Anjuran JKD Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu 2009.

1. Ucapan jutaan terima kasih kepada Pengetua SMK. Datin Onn, Batu Pahat dan Pengurusan Ketua Panitia Bahasa Melayu SMK. Datin Onn yang telah berjaya menjalankan tugas yang telah diamanahkan dengan cemerlang.
2. Bagi pihak JKD Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu, kita telah berjaya menjalankan semua aktiviti koakademik pada tahun 2009 ini. Kita juga telah berjaya menghantar semua peserta yang menang di peringkat daerah ke Karnival Bahasa Melayu di Kota Tinggi pada minggu lepas. Kini kita sedang melaksanakan program pembinaan item untuk peperiksaan setengah tahun dan gerak gempur mata pelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu di peringkat PMR, SPM, dan STPM.
3. Hari ini, sekali lagi kita telah berjaya melaksanakan satu program besar dalam aktiviti JKD Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu. Kursus Pemantapan Pedagogi Bahasa Melayu untuk Guru-guru Bukan Opsyen dan Guru-guru Baharu. Pengisian kursus memperlihatkan kepentingan pengajaran dan pembelajaran tatabahasa Bahasa Melayu dan penguasaan aspek lisan, bacaan, dan penulisan Bahasa Melayu.
4. Dalam slot pertama bertajuk ”Pemantapan Tatabahasa dalam Proses Pengajaran dan Pengajaran Bahasa Melayu” oleh Encik Ramli bin Yahya. Guru-guru telah didedahkan dengan pengetahuan tatabahasa sebagai elemen penting dalam penguasaan bahasa Melayu. Pengetahuan tatabahasa ini bukan sahaja untuk proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah, malah boleh meningkatkan penguasaan ilmu bahasa dalam diri semua guru dan pengguna bahasa di samping menambahkan keyakinan diri guru untuk terus berhadapan dengan tahap dan ilmu pengetahuan pelajar yang semakin bertambah dalam aspek tatabahasa. Begitu juga dengan slot kedua bertajuk ”Kemahiran Lisan, Bacaan, dan Penulisan Bahasa Melayu” oleh Puan Nursidah binti Ab. Hamid telah memberikan input pengetahuan kepada kita untuk mengajarkan aspek lisan (kemahiran mendengar dan bertutur), aspek bacaan, dan aspek penulisan.
5. Walaupun kita tidak dapat memuatkan semua elemen seperti kaedah penulisan karangan, penulisan rumusan, penulisan ringkasan, komsas, dan kajian novel, insya-Allah, pihak JKD Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu akan menganjurkan kursus ini pada masa akan datang.
6. Sekali lagi pihak JKD Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Pengetua dan barisan kepimpinan Panitia Bahasa Melayu SMK. Datin Onn selaku urus setia Kursus Pemantapan Pedagogi Bahasa Melayu, Guru-guru Cemerlang Bahasa Melayu (Majlis Guru Cemerlang Daerah Batu Pahat), Pengurusan Institut Perguruan Tun Hussien Onn (IPTHO) yang telah memberikan kemudahan untuk menjayakan kursus ini dan Pejabat Pelajaran Daerah Batu Pahat yang telah memberikan sokongan padu untuk merealisasikan kursus ini sehingga berjaya. Terima kasih kepada semua peserta kursus yag telah memberikan kerjasama untuk menjayakan program ini dari awal hingga akhir. Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan