Khamis, 16 Julai 2009

PENULISAN KREATIF 1 - CERPEN

CERPEN: AKU, DIA DAN DS OLEH RAMLI BIN YAHYA

PELAJAR-PELAJAR Tingkatan Lima Cemerlang masih lagi menunggu di kerusi masing-masing. Di atas meja mereka terletak senaskhah majalah. Majalah pendidikan yang tidak asing bagi pelajar di kelas ini. Sementara menunggu, pelajar membelek-belek halaman majalah. Tidak kurang juga hanya memerhatikan gambar warna yang menghiasi muka depan majalah pendidikan terbitan bulan Jun ini. Kalau dihitung, masuk hari ini sudah tiga kali cikgu mata pelajaran Bahasa Malaysia menggunakan majalah yang sama. Muka surat yang sama. Malah tajuk juga sama. Sama seperti semalam. Sama juga seperti kelmarin. Semalam cikgu berpesan supaya pelajar membawa majalah pendidikan ini. Cikgu akan menghuraikan tajuk pada halaman ini. Halaman yang menarik minat pelajar semua di kelas ini sejak dua hari lalu. Itulah janji cikgu sebelum keluar dari kelas setelah mengakhiri pembelajaran semalam. Pembelajaran yang menyeronokkan. Masa satu jam dua puluh minit berlalu tanpa disia-siakan. Kerana majalah itu jugalah, pelajar masih setia untuk datang pada awal-awal pagi hari ini. Kalau semalam, hampir semua pelajar melibatkan diri dalam aktiviti. Aktiviti mencatat. Mengakses maklumat. Membuat capaian internet. Yang pasti setiap wakil kumpulan telah berjaya membentangkan hasil kumpulan. Ada yang menyampaikan maklumat macam pakar motivasi. Ada yang macam menteri berbahas di parlimen. Ada yang macam ahli panel forum perdana. Dalam setiap pembentangan, ada sahaja unsur kecindan dibawa bersama. Semua orang tak kering gusi semasa pembentangan itu. Suasana di Makmal Komputer Semarak sentiasa riuh-rendah dengan gelak ketawa dan diselang-seli pula tepukan pelajar. Semuanya itu kerana majalah DS.
Hari ini, seperti hari semalam aku dan rakan masih di Makmal Komputer Semarak. Aku duduk di barisan paling hadapan dalam kumpulan yang telah ditetapkan sejak dua hari lalu. Aku bersemangat untuk belajar hari ini. Menunggu seseorang dengan penuh semangat. Halaman majalah DS yang digunakan sejak dua hari lalu aku selak satu persatu. Aku juga sempat membaca sekali lagi petikan yang digunakan cikgu semalam. Petikan sepuluh perenggan aku baca dengan teliti. Empat keping gambar warna di bahagian bawah petikan itu aku tatap satu persatu. Aku sudah tidak sabar untuk menunggu guru Bahasa Malaysia. Juga tidak sabar untuk belajar bersama-sama majalah DS. Lebih-lebih lagi, cikgu Laili telah berjanji sesuatu kepadaku. Berjanji untuk membawa melawat keluar negara hari ini. Mungkin ke beberapa buah negara. Cikgu Laili tidak pernah mungkir. Kita pasti akan ke luar negara besama cikgu Laili. Bersama-sama rakan sekelas. Bersama-sama senaskhah majalah DS.

Aku masih di Makmal Komputer Semarak. Rakanku masih membelek-belek majalah DS. Semuanya bersedia untuk menikmati sekali keseronokan semalam. Tetapi kali ini, d luar negara. Shikin, Amalina, Chee Leong, dan Gunabudi, baru sahaja sampai ke makmal komputer. Mereka juga nampak bersemangat seperti aku. Cerita semalam masih hangat. Masih meniti di bibir mereka. Aku hanya tersenyum apabila namaku juga disebut-sebut dalam perbualan itu.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Tiba-tiba terpancul satu suara dari arah pintu masuk Makmal Komputer Semarak. Cikgu Razak muncul di hadapan makmal sambil membimbit sebuah laptop.
“Saya menggantikan cikgu Laili hari ini. Cikgu Laili tidak dapat hadir ke sekolah. Dia mengalami satu musibah,” terang cikgu Razak dengan tenang. Aku terkejut apabila mendengar keterangan daripada cikgu muda itu. Macam tidak percaya. Aku memandang ke arah Amalina. Shikin. Chee Leong dan Gunabudi. Kedua-dua tapak tangan menutup muka seperti tidak percaya dengan kenyataan itu. Suara rakan di belakang juga semacam tidak percaya dengan berita itu.
“Boleh cikgu ceritakan bagaimana kemalangan itu berlaku?” Tiba-tiba terpancul suaraku tanpa terduga. Mataku tepat ke arah cikgu yang baru sahaja sebulan menjagar di sekolah ini. Aku masih berdiri menanti jawapan. Jawapan yang boleh menghilangkan keraguanku. Juga keraguan rakanku yang lain.
“Semasa mesyuarat panitia Bahasa Malaysia petang semalam. Cikgu Laili terjatuh dari kerusi di Bilik Mesyuarat Info-BM. Kepalanya terhantuk tiang batu di tepi tangga. Dia tidak sedarkan diri. Banyak darah mengalir di kepalanya.”
“Saya sendiri yang membawa cikgu Laili ke hospital petang semalam. Bajunya dipenuhi darah. Setakat malam tadi, dia masih belum boleh banyak bergerak. Badannya pun masih lemah. Marilah kita sama-sama doakan agar cikgu Laili cepat sembuh dan kandungannya yang baru berusia dua bulan itu selamat. Jika pelajar berkesempatan, silalah melawat cikgu Laili di hospital,” jelas cikgu Razak dengan nada agak perlahan. Mungkin juga simpati apa yang telah menimpa rakan sejawat itu. Semua pelajar Lima Cemerlang terpaku. Diam. Tunduk. Sedih. Aku melihat wajah Amalina dan Shikin. Pipi mereka basah. Begitu juga dengan Chee Leong dan Gunabudi. Kedua-dua belah matanya hampir merah. Aku tahu mereka sedang menahan rasa sedih atas apa yang berlaku kepada guru kelas yang amat disayangi mereka.
“Oleh sebab cikgu Laili tidak dapat mengajar kamu ketika ini. Saya akan mengambil alih kelas Bahasa Malaysia buat sementara waktu,” cikgu Razak memberikan penjelasan.

Aku hanya diam apabila mendengar penjelasan daripada cikgu Razak. Pelajar lain juga diam. Semangatku dan semangat rakan yang lain berubah serta merta. Kalau tadi, mereka berbual tentang pembentangan hasil kerja semalam dengan gelak ketawa. Ada yang menepuk-nepuk bahu rakan mereka. Tak kurang juga yang bercakap tentang lawatan ke luar negara hari ini. Meraka sudah membuat persiapan rapi untuk ke luar negara. Tetapi hari ini tidak seperti hari semalam. Kemeriahan semalam telah diragut tanpa diduga. Keseronokan semalam hilang sekelip mata. Kini suasana dalam Makmal Komputer Semarak cukup berbeza dari semalam. Semua pelajar membisu. Macam masih tidak percaya dengan berita yang baru didengari mereka. Mereka memandang antara satu sama lain. Majalah DS yang selalu dibelek-belek oleh mereka sejak semalam hanya dibiarkan saja di atas meja.
Dalam kesayuan melanda emosi pelajar Lima Cemerlang, cikgu Razak mengeluarkan pendrive daripada poketnya dan menyambungkan pada laptop. Tidak lama selepas itu, satu paparan terbentuk pada skrin LCD. Gambar Perdana Menteri Malaysia sedang bersalaman dengan seorang pelajar sempena penyampaian hadiah pelajar cemerlang SPM peringkat kebangsaan. Mataku terus terlekat pada gambar seorang pelajar perempuan sedang memegang sekeping sijil penghargaan dan bersalaman dengan Perdana Menteri Malaysia. Pemandanganku kali ini melewati skrin putih yang terpampang gambar pemimpin nombor satu negara bersama seorang pelajar cemelang itu.
“Pelajar yang saya kasihi, sila dengan dengar teliti lagu yang akan saya mainkan ini. Lepas itu, saya akan akan kemukakan beberapa soalan daripada kandungan lagu ini” pesan cikgu Laili dengan suara yang lembut tapi tegas. Pelajar diam.
.
Ibu bapa dan kaum keluarga
Saudara terdekat jiran tetangga
Sayang menyanyangi bertegur sapa
Ketulusan ikatan sepanjang usia.

Para guru rakan sekolah
Turut warnai kehidupan kita
Ilmu ditimba pengalaman bertambah
Pergaulan sihat peribadi ceria

Bangsa Malaysia berhemah tinggi
Ramah mesra dan elok pekerti
Yang tiada dibantu, yang lemah dilindugi
Bertimbang rasa hormat-menghormati

Kita berkhidmat jujur dan ikhlas
Mencurah bakti tak minta dibalas
Harapan rakyat satu amanah
Budi bahasa budaya kita.


Tiba-tiba dendangan lagu “Budi Bahasa Budaya Kita” yang dinyanyikan oleh penyanyi nombor satu negara masa kini, Dato’ Siti Nurhaliza telah memecah suasana sunyi Makmal Komputer Semarak. Semua pelajar Tingkatan 5 Cemerlang terpaku di kerusi. Lagu ciptaan Pak Ngah atau nama sebenarnya Suhaimi Md. Zain dan lirik pula ditulis oleh Habshah Hassan begitu menghiburkan. Bukan sahaja lagunya merdu, malah klip video yang dipaparkan telah menambahkan daya tarikan siapa sahaja yang mendengar dan menontonnya. Kami sana-sama menyanyikan lagu “Budi Bahasa Budaya Kita” apabila aku meminta cikgu Laili memutarkan lagu itu sekali lagi. Lagu itu berkahir dengan satu tepukan daripada pelajar. Akulah yang mula-mula bertepuk tangan diikuti Chee Leong dan Gunabudi.

“Terima kasih daun keladi kerana telah memberikan kerjasama untuk mendengar lagu tadi. Lagu tadi dirakam oleh cikgu seminggu lalu untuk digunakan dalam pembelajaran Bahasa Malaysia hari ini. Cikgu, sangat meminati lagu ini,” jelas cikgu Laili.
“Soalan pertama saya, apakah yang dimaksudkan dengan budi bahasa dalam lagu tadi?” soal cikgu Laili kepada pelajar. Matanya bergerak ke semua arah dan semua sudut di makmal ini. Cikgu Laili masih menunggu jawapan daripada pelajar.
“Cikgu, izinkan saya cuba menjawab soalan ini,” tiba-tiba aku bersuara di tengah-tengah kumpulan Geliga. Cikgu Laili mengangguk tanda memberikan keizinan. Aiman bangun dengan hormat dan terus melemparkan senyuman kepada cikgu Laili.
“Pada pendapat saya, budi bahasa merujuk kepada adat, tutur kata, tatatertib, tatahidup, kelakuan, sopan santun, amalan nilai murni atau perbuatan baik yang dilakukan kepada diri sendiri dan orang lain.”
“Mengamalkan budi bahasa bermakna kita telah mengamalkan prinsip kelima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Melaluinya, setiap warganegara harus menjaga tatasusila masing-masing dengan tidak menyinggung perasaan sesuatu golongan lain,” sambungku dengan lancar dan yakin. Amalina memandang ke arahku dengan tepat. Shikin juga begitu. Begitu juga Chee Leong dan Gunabudi
“Terima kasih dan tahniah kepada Aiman kerana berjaya memberikan satu definisi budi bahasa dengan tepat,” kata cikgu Laili sambil menyampaikan satu bungkusan jajan kepadaku. Aku menerima satu tepukan gemuruh daripada rakan sekelas setelah menerima jajan daripada cikgu Laili. Cikgu Laili sentiasa memberikan jajan kepada pelajar yang berjaya menjawab dengan tepat soalan yang dikemukakannya. Kalau dibandingkan dengan rakan-rakan lain, akulah orang yang paling banyak menerima jajan daripada cikgu Laili sepanjang tahun ini. Boleh dikatakan setiap kali cikgu menyoal, akulah orang pertama yang akan mencuba untuk menjawab soalan itu. Aku pasti akan mendapat hadiah jajan setiap kali menjawab soalan.
“Di tangan saya terdapat empat sampul surat yang mengandung soalan bagi aktiviti seterusnya. Wakil setiap kumpulan diminta membaca soalan dan menyelesaikan satu tugasan berdasarkan arahan soalan. Masa yang diperuntukkan untuk aktiviti ini selama empat puluh minit,” jelas cikgu Laili lagi. Setelah memperoleh sampul surat itu, aku terus kembali kepada kumpulan Geliga. Satu kumpulan yang cukup aktif dan sentiasa menang dalam pertandingan di peringkat kelas dan di peringkat sekolah. Aku dan rakan-rakan dari kumpulan ini sentiasa terpilih dalam aktiviti bahasa. Lebih-lebih lagi, Amalina seorang yang pandai mendeklamasikan sajak. Chee Leong pula seorang pemidato yang tidak asing lagi di sekolah ini. Shikin dan Gunabudi pula cekap dalam kuiz Bahasa Malaysia.

“Nyatakan satu adat resam bagi kaum Melayu, kaum Cina, dan kaum India di negara kita. Anda boleh menggunakan semua kemudahan yang ada di Makmal Komputer Semarak untuk menyelesaikan tugasan ini,” aku membaca soalan yang tercatat pada skeping kertas dalam sampul yang diambil daripada cikgu Laili tadi.
“Saya cadangkan Amalina dan Shikin menyediakan slide power-point untuk pembentangan nanti. Chee Leong dan Gunabudi, ditugaskan untuk melayari laman web yang berkaitan dengan adat resam di negara kita. Saya pula akan mencari bahan termasuk gambar yang sesuai dalam majalah DS untuk discankan dan ditayangkan nanti,” aku memberikan pandangan. Semua ahli kumpulan bersetuju dengan pendapat itu. Semua tugas yang diamanahkan terus dijalankan tanpa membuang masa.

“Aim, saya dapat membuat capaian melalui laman web
http://www.dbp.gov.my untuk mencari definisi adat resam,” kata Chee Leong sambil memandang ke arah mukaku. Jari tangannya masih terletak di papan kekunci komputer.

“Saya juga berjaya ni. Laman web
http://www.kekkwa.gov.my boleh membantu kita mencari contoh adat resam masyarakat Melayu, Cina, dan India di Malaysia. Ada gambar warna sekali. Saya rasa maklumat ini boleh membantu kita nanti,” tiba-tiba Gunabudi bersuara sambil tersenyum. Amalina sibuk menyiapkan bahan dalam power-point. Shikin tetap setia di sisi Amalina untuk menyiapkan tugasan ini.

Suasana dalam Makmal Komputer Semarak agak bising sedikit. Tetapi terkawal. Aku melihat cikgu Laili bergerak dari satu kumpulan ke satu kumpulan. Dari Kumpulan Permata dia bergerak ke kumpulan Kristal. Dia akan memberikan nasihat dan idea untuk membantu pelajar menyiapkan tugasan kumpulan ini. Tak lama selepas itu, cikgu Laili menghampiri kumpulanku. Chee Leong dan Gunabudi bangun. Amalina dan Shikin bersalaman dengan cikgu Laili. Aku terus mempersilakan cikgu Laili duduk bersebelahan denganku.

“Kami akan menggunakan kemudahan internet, LCD, dan laptop yang ada di makmal ini untuk pembentangan nanti. Kami juga berjaya melayari dua laman web yang telah banyak membantu. Kandungan majalah DS ini juga akan kami gunakan sebagai bahan rujukan kepada pelajar lain apabila pulang ke rumah nanti,” jelasku kepada ckgu Laili. Amalina, Shikin, Chee Leong, dan Gunabudi mengangguk-angguk tanda setuju Cikgu Laili tersenyum. Setuju dengan pandangan aku.

Loceng tamat masa pertama telah berbunyi. Masa yang diberikan kepada setiap kumpulan untuk menyediakan bahan pembentangan telah tamat. Aku melihat rakan-rakan daripada kumpulan lain telah berjaya menyiapkan tugasan ini. Mereka juga nampak ceria dan bersemangat. Mungkin sudah bersedia untuk membentangkan hasil perbincangan.

“Saya meminta ketua kelas ke hadapan untuk mencabut undi bagi memilih giliran kumpulan dalam aktiviti pembentangan ini. Setiap kumpulan hanya diberikan masa selama dua puluh minit untuk menyampaikan isi perbincangan. Semasa pembentangan pelajar boleh mengemukakan soalan dan mencatat maklumat yang disampaikan oleh pembentang,” pesan cikgu Laili kepada semua pelajar.

“Setelah undian dibuat, saya mengumumkan bahawa kumpulan Geliga telah terpilih sebagai kumpulan pertama untuk membentangkan hasil perbincangan ini,” umum cikgu Laili dengan gembira. Semua pelajar bertepuk tangan. Aku dan rakan-rakan daripada kumpulan Geliga merupakan orang yang paling gembira. Diberi penghormatan untuk menyampaikan hasil kumpulan. Semua ahli kumpulan Geliga telah mengambil tempat di hadapan dan menyediakan peralatan komputer. Aku berada di bahagian paling hadapan.

“Berdasarkan slide power-point dan tayangan klik video ini, kita dapati ibu yang baru melahirkan anak dalam adat dan budaya masyarakat Melayu akan ‘berpantang’ selama empat puluh hari dengan mengurangkan makan, gerakan badan, dan tidak mengambil makanan yang sejuk. Ibu juga akan berdiang iaitu memanaskan badan di tepi unggun api atau tungku, diurut oleh tukang urut, dan memakan jamu. Maklumat ini terdapat di mka surat enam belas dalam majalah DS,” terangku dengan jelas sambil mataku memandang tepat ke arah Amalina dan Shikin. Mereka berdua tunduk. Malu tersipu-sipu apabila aku mengulang-ulang perkataan jamu dan bersalin. Chee Leong bangkit mengambil tempatku di barisan hadapan.

“Bagi masyarakat Cina pula, ibu yang bersalin digalakkan tidur dan makan dengan sempurna. Mereka digalakkan membaca buku-buku yang mempunyai teladan yang baik dan melihat benda-benda yang cantik. Pada hari kedua puluh sembilan, bayi akan dicukur dan rambutnya dibungkus dengan kain berwarna merah serta digantung berdekatan bantalnya selama seratus hari sebelum dibuang ke sungai,” Chee Leong menunjukkan bakatnya sebagai pemidato sekolah dengan penuh keyakinan. Chee Leong juga sempat menjeling manja ke arah beberapa orang pelajar perempuan sebangsa dengannya yang ada di dalam makmal. Cikgu Laili hanya memerhatikan sahaja gelagat pembentang dari arah belakang makmal. Dia cukup faham dengan sikap dan tingkah laku pelajarnya. Mereka sekelas terlalu friendly. Macam satu keluarga. Cikgu Laili masih berada di belakang dan memantau perjalanan aktiviti perbincangan ini.

“Saya akan menceritakan sedikit tentang adat dalam masyarakat saya apabila seseorang ibu itu bersalin,” bangun pula Gunabudi dengan penuh semangat sambil menunjukkan beberapa keping gambar bayi dan ibu yang baru bersalin ditayangkan di skrin.
“Apabila seorang bayi dilahirkan, saudara mara dan keluarga terdekat akan diberitahu lebih awal. Selama enam belas hari keluarga ibu yang bersalin tidak boleh melakukan sebarang upacara agama. Selepas upacara memberikan nama kepada bayi itu, rumah akan dihiasi cantik-cantik. Buaian akan dihias cantik dan jiran-jiran dijemput bersama-sama meraikan bayi yang baru dilahirkan itu. Semua maklumat ini kami peroleh daripada laman web
http://kekkwa.gov.my. Manakala gambar itu pula, kami scan daripada majalah DS terbitan bulan ini dan bulan lepas,” Gunabudi memberikan penjelasan dengan ringkas dan padat.
“Rakan-rakan boleh mendapat maklumat lanjut daripada tajuk ini dengan melayari laman web
http://kekkwa.gov.my dan http://dbp.gov.my. Saya mewakili rakan-rakan daripada kumpulan Geliga mengucapkan terima kasih kepada cikgu Laili, Ketua Kelas, dan rakan-rakan kerana telah membantu menjayakan pembentangan ini,” aku bangun sejurus sahaja Gunabudi menamatkan penjelasannya. Tepukan daripada cikgu Laili dan semua pelajar Lima Cemerlang telah memecah kesunyian pagi itu. Pagi yang cukup ceria buatku. Buat rakan-rakanku. Mindaku juga telah melepasi pagi di Makmal Komputer Semarak.

Tiba-tiba bahuku rasa ditepuk oleh seseorang. Cikgu Razak telah berada di sisiku. Aku terkejut. Malu rasanya. Rakan-rakanku yang lain memandang ke arahku. Wajah Amalina dan Shikin masih sayu. Chee Leong dan Gunabudi juga sama. Aku masih lagi di kerusi. Masih bersama-sama cikgu Razak. Gambar Perdana Menteri bersalaman dengan pelajar cemerlang SPM juga masih terpampang di situ. Cerita cikgu Razak masih bermain di mindaku. Mindaku terus bermain dengan emosi suram ini hingga ke penghujung masa. Aku, Amalina, Shikin, Chee Leong, dan Gunabudi merancang untuk ke hospital setelah tamat waktu persekolahan. Aku sudah tidak sabar untuk ke hospital. Tidak sabar untuk bertemu cikgu Laili.

Pintu bilik Wad Lima Selatan, hospital terkemuka itu aku tolak dengan perlahan. Aku terus menuju ke arah cikgu Laili. Di belakangku, Amalina. Shikin, Chee Leong dan Gunabudi. Kami memberi salam kepada cikgu Laili. Cikgu Laili sedikit terkejut apabila melihat aku dan rakan muncul dengan tiba-tiba. Amalina dan Shikin terus meluru ke arah cikgu Laili. Mereka berdua memeluk dan mencium tangan cikgu. Kedua-duanya menangis terisak-isak. Tanpaku sedari air mataku juga membasahi lantai Wad kelas Satu ini. Sudah lama aku tidak menangis. Kali terakhir aku menangis ketika ayahku disahkan meninggal dunia akibat pelanggaran bot nelayan di perairan Selat Melaka lima tahun yang lalu. Setahun selepas itu, ibu pula meninggal dunia akibat sakit jantung dan darah tinggi. Semua kenangan itu aku simpan dalam kamus perdana yang menjadi milik peribadiku sehingga ke akhir hayat.

“Aiman, Amalina, Shikin, Chee Leong, Guna. Terima kasih kerana datang melawat cikgu. Sebenarnya cikgu dah sihat. Esok mungkin cikgu boleh pulang ke rumah. Lusa bolehlah cikgu mengajar kamu semula,” kata cikgu Laili dengan suara yang sedikit perlahan tetapi kaya dengan senyuman. Kedua-kedua belah tangannya memegang erat tangan Amalina dan tangan Shikin. Mata cikgu Laili tepat memandang ke arahku. Hanya sesekali menjeling ke arah Chee Leong dan Gunabudi yang masih lagi mengesat air mata dengan sapu tangan.

“Cikgu dah janji untuk membawa kamu melawat ke luar negara hari ini. Tapi tak dapat. InsyaAllah, esok atau lusa cikgu akan membawa kamu sekelas melawat ke luar negara meninjau adat dan budaya masyarakat Eropah dan Asia Timur selepas melahirkan anak. Cikgu sudah berjaya mendapatkan laman web beberapa buah negara Eropah dan Asia Timur. Ini memudahkan kita ke sana dengan cepat,” jelas cikgu Laili dengan bersemangat. Aku juga sempat melihat senaskhah majalah DS yang pernah dibawa ke kelas semalam berada di atas meja sebelah katil cikgu Laili.

Setengah jam berlalu. Pintu bilik cikgu Laili dibuka. Wajah seorang lelaki segak muncul di dalam bilik dan terus menuju ke katil cikgu Laili. Tersenyum. Matanya tepat memandangku. Lelaki itu terus menuju ke arah cikgu Laili dan menghampirinya. Cikgu Laili terus mencapai tangan lelaki itu. Dia mencium tangannya.
“Ini saya kenalkan, suami cikgu. Cikgu Mizan,” cikgu Laili memperkenalkan suaminya, seorang pensyarah Bahasa Malaysia di Institut Perguruan. Aku terus bersalaman dan mencium tangan cikgu Mizan. Diikuti Chee Leong dan Gunabudi. Aku berbangga dapat bersalaman dan berkenalan dengan suami cikgu Laili. Kami seronok dapat berbual-bual tentang diri masing-masing. Cikgu Mizan seorang yang peramah. Lebih banyak bercakap daripada kami. Seorang yang penyanyang dan baik hati. Sama macam cikgu Laili.
“Cikgu, kami nak minta izin untuk beredar dahulu. Lagipun hari sudah petang. Terima kasih kerana cikgu dapat melayan kami petang ini. Kami sungguh seronok dapat bertemu cikgu hari ini. Kami doakan cikgu cepat sembuh dan dapat mengajar kami secepat mungkin. Kami akan membantu cikgu untuk melayari internet ke luar negara itu nanti,” kataku sambil tersenyum melihat wajah cikgu Laili yang bertambah ceria. Lebih ceria dari tadi. Maklumlah buah hatinya dah sampai.
“Cikgu jangan lupa makan ubat. Jaga baik-baik anak saudara saya yang ada di dalam tu. Kami dah tak sabar untuk mendapat adik,” usik Amalina dan Shikin sambil bersalaman dengan cikgu Laili. Cikgu Laili sempat mencubit manja pipi Amalina dan Shikin.
“Cikgu juga jangan lupa mengamalkan adat dan pantang larang yang kami bincangkan semalam tu,” sampuk Gunabudi sambil memandang cikgu Laili.
“Juga jangan lupa makan jamu dan berdiang, cikgu,” Chee Leong pula mencelah. Cikgu Laili ketawa dan tersenyum. Matanya memandang suami dengan manja sekali. Lepas itu, dia beralih memandangku. Aku tunduk malu. Chee Leong dan Gunabudi sudah bergerak untuk keluar. Amalina dan Shikin mengekorinya. Dari jauh aku mendengar mereka menyanyikan lagu “Budi Bahasa Budaya Kita”. Aku memandang ckigu Laili sekali lagi. Dia tersenyum melihat gelagat anak muridnya yang nakal tetapi pintar.
“Cikgu, jangan lupa bawa balik majalah DS tu” kataku sebelum keluar dari bilik cikgu Laili. Aku sempat bersalaman kali kedua dengan cikgu Mizan yang menemaniku hingga ke pintu bilik. Aku sempat menoleh sekali lagi ke arah cikgu Laili sebelum melangkah keluar bilik. Langkahanku kali ini cukup bersemangat kerana majalah DS masih ada bersama-sama cikgu Laili. Esok aku pasti dapat ke luar negara bersama cikgu Laili dan bersama majalah DS.

BIODATA PENULIS
RAMLI BIN YAHYA, dilahirkan pada 1.6.1963 di Kampung Geliga, Kemaman, Terengganu Darul Iman. Anak nelayan ini telah melanjutkan pelajaran di peringkat sekolah rendah di SK. Kuala Kemaman, Kemaman dan di peringkat menengah di SMK. Chukai, Kemaman. Seterusnya, menyambung pelajar dalam bidang perguruan di Maktab Perguruan Mohd. Khalid (MPMK), Johor Bahru. Setelah itu, melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sama di Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan memperoleh Bacelor Pendidikan (PMBP). Beliau menyambung pelajaran di Fakulti Bahasa Moden di universiti yang sama, dan berjaya memperoleh Master Bahasa Melayu. Dalam bidang penulisan, beliau pernah menghasilkan cerpen “Kepulangan” (1984), “Pengorbanan” (1985), “Mencari Rahmat” (1987), cerpen “Kehilangan” (1991), “Sebuah Dompet Kulit” (2000) dan cerpen “Satu Memorabilia...2020” (2005). Masih menyimpan satu perasaan besar untuk menghasilkan sebuah novel yang berlatarbelakangkan pengalaman hidup yang bertarikan ulit mayang hingga berjaya menunggang kuda kepang. Beliau merupakan Munsyi Dewan, DBP dan Guru Cemerlang Bahasa Melayu. Kini mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Senggarang, Batu Pahat, Johor Darul Takzim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan