Rabu, 15 Julai 2009

SOALAN SETENGAH TAHUN SBP PANTAI TIMUR 2009

SEKOLAH BERASRAMA PENUH ZON TIMUR

PENILAIAN BERSAMA PERTENGAHAN TAHUN 2009 TINGKATAN LIMA

BAHASA MELAYU Kertas 2

Dua jam tiga puluh minit


JANGAN BUKA KERTAS SOALAN INI SEHINGGA DIBERITAHU


1. Kertas soalan ini mengandungi empat soalan.


2. Jawab semua soalan.


3. Jawapan bagi Soalan 2(b), Soalan 2(c), Soalan 2(d) dan Soalan 4 berdasarkan teks
Komponen Kesusasteraan Melayu Tingkatan 4 dan Tingkatan 5.


4. Jawapan boleh ditulis dalam tulisan Rumi atau Jawi.
Kertas soalan ini mengandungi 10 halaman bercetak.



Soalan 1 : Rumusan
[ 30 markah ]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah mengawal kes keracunan makanan di sekolah dan punca-punca keracunan makanan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan


Makanan, kesihatan dan pembelajaran saling berkait rapat. Makanan yang berkhasiat dapat menjana kecergasan badan supaya sentiasa sihat. Kecerdasan minda yang pelbagai sebenarnya hasil pemakanan yang berkhasiat. Tetapi, sejak akhir-akhir ini negara kita digemparkan dengan berita kes keracunan makanan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Saban hari ada sahaja paparan tentang kes keracunan di sekolah sama ada dalam media cetak atau media elektronik. Kesal dengan kejadian inilah, Kementerian Pelajaran tidak teragak-agak akan menamatkan kontrak pengusaha kantin jika terbukti mereka bersalah.

Perkara yang berlaku itu mewujudkan kekesalan kepada pihak kementerian dan pelbagai cara telah difikirkan seperti mengedarkan Buku Panduan Khas Pengendalian Kantin Sekolah kepada semua pengusaha kantin sekolah. Pihak kementerian juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dengan memohon agar mereka melakukan pemantauan yang berkala di semua kantin sekolah.Pemantauan yang dilakukan perlu teliti dan cermat agar tidak terlepas pandang. Untuk meminimumkan kes keracunan ini juga, pihak sekolah patut memberikan maklum balas keadaan kantin kepada Pejabat Pelajaran Daerah masing-masing. Selain itu, guru kesihatan yang dilantik oleh pihak sekolah perlu melakukan pemeriksaan terus ke kantin setiap bulan.

Pihak Kementerian Kesihatan juga perlu menggariskan langkah sewaktu pengendalian makanan oleh pengusaha kantin sekolah. Dengan garis panduan ini, setidak-tidaknya memberi pedoman kepada pengusaha kantin untuk mengetahui tatacara yang betul tentang pengurusan kantin sekolah. Kursus-kursus pengurusan kantin sekolah juga patut dilaksanakan memandangkan jika hanya pengetahuan teori sahaja tidak begitu efektif berbanding secara praktikal.

Pihak sekolah juga disaran membuat tindakan susulan jika didapati keadaan kantin tidak memuaskan. Sehubungan dengan itu, pengusaha kantin sendiri perlu mengutamakan kebersihan setiap masa. Soal pemakanan murid amatlah penting kerana murid perlu sihat untuk belajar kerana badan yang sihat dapat menjana minda yang cerdas. Makanan yang berkhasiat penting untuk tumbesaran kita.


(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Fokus, PENDIDIK : Ariff Awang
Majalah Pendidik MAC 2008)






Soalan 2 : Pemahaman

[35 markah]


Soalan 2 (a) Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata pemantauan yang berkala. [2 markah]

(ii) Nyatakan kebaikan makan makanan berkhasiat? [3 markah]

(iii) Sebagai ibu bapa, apakah yang boleh anda lakukan untuk mengawal kes keracunan di
sekolah anak anda? [4 markah]





Soalan 2(b) — Petikan Prosa Moden

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

SAFIAH: (Terhenti, menjeling masam pada Umar, terdiam seketika, tapi bersemangat semula)
Kalau you bercita-cita hanya nak jadi guru, tak payah masuk universiti pun you
boleh jadi guru. Apa susahnya? Tengok, berapa banyak orang yang boleh jadi guru,
tak payah pandai cakap Inggeris pun boleh jadi guru.

UMAR: (Sedikit kesal)You terlalu memikirkan dirisendiri. I suka jadi guru dan kita pun
memang kekurangan guru.

SAFIAH: (Tak sabar) You ni nasionalis sangat...

UMAR: (Memandang penuh pada Safiah) Ya, nasionalis tak nasionalis, cuba you tengok. Tiap
tahun beribu-ribu murid masuk sekolah, tapi berapa orang guru bertambah? Berapa
orang mahasiswa-mahasiswa yang mahu jadi guru?

SAFIAH: (Cepat geram) You terlalu statis!

UMAR: (Berpaling dari Safiah, perlahan tapi pahit) You terlalu ingin nak main salji sahaja,
mahu duduk-duduk di London atau Amerika (membisu beberapa lama).

SAFIAH: (Terdiam, memandang Umar, kemudian membongkok kehadapan, menyentuh sedikit
tangan Umar, dan berkata dengan nada baru, logik dan lembut) I tahu you nak
berkhidmat dalam negeri, I tahu you bercita-cita nak berjasa kepada bangsa. I hargai.
Tapi I bercakap sebagai tunang you, yang ikut sama memikirkan masa depan
kita...

(Dipetik daripada drama Serunai Malam oleh Usman Awang
dalam antologi Anak Laut.)


(i) Apakah pandangan Safiah terhadap profesion perguruan?
[2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, mengapakah Umar bersungguh-sungguh hendak menjadi guru? [3 markah]

(ii) Jelaskan dua pengajaran yang terdapat dalam petikan dan dua pengajaran lain daripada keseluruhan drama.
[4 markah]






Soalan 2(c) — Petikan Prosa Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Maka sahut Jebat, “Hai Laksamana, bahawa aku tiada takut akan engkau! Kudengar engkau sudah dibunuh oleh Bendahara; sebab itulah maka aku hairan.” Maka kata Laksamana, “Akulah Hang Tuah dititahkan Duli Yang Dipertuan membunuh engkau, kerana aku tiada mati; aku ditaruh oleh Bendahara di Hulu Melaka.”

Setelah Hang Jebat mendengar kata Laksamana demikian, maka ia pun hairan, seraya berkata, "Hai orang kaya Laksamana, keranamulah maka aku berbuat pekerjaan ini! Pada bicaraku, engkau tiada dalam dunia ini lagi. Jika aku tahu akan engkau ada hidup, demi Allah dan Rasul-Nya, tiada aku berbuat pekerjaan ini.” Maka kata Laksamana, “Hai Si Jebat, menyesalkah engkau?” Maka kata Hang Jebat, “Hai Laksamana, sekali-kali tiada aku menyesal dan takut akan mati, tetapi aku sudah tahu akan kematianku ini pada tanganmu, di mana dapat kusalahi lagi? Tetapi tuan hamba lihatlah tikam Si Jebat derhaka ini, empat puluh hari orang Melaka membuangkan bangkai dalam negeri Melaka ini dan tiada menderita bau busuk bangkai. Sepala-pala jahat jangan kepalang; kuperbuat sungguh-sungguh.”

(Dipetik daripada Pertarungan Tuah dengan Jebat dalam antologi Anak Laut,
Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Apakah maksud di mana dapat kusalahi? [2 markah]

(ii) Nyatakan sebab Laksamana hendak membunuh Hang Jebat. [2 markah]

(iii) Pada pendapat anda, mengapakah Bendahara mengingkari titah Duli Yang Dipertuan supaya membunuh Laksamana? [4 markah]


Soalan 2(d) – Petikan Puisi

Baca puisi di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.


DUHAI PENTAFSIR

Pentafsir, sebenarnya telah lama ku cari
suaramu yang sarat
ke mana jatuhnya gema itu?
Di manakah tempat istirahat
setelah pengembaraan yang penat
di manakah telah kurakamkan
pertemuan matahari, rimba dan lautan?

Senja ini menemuiku
dengan lusuh catatanmu
angin sedang cuba mengoyak-ngoyakkan lembar-lembar buku
sedang aku belum ketemu
surat yang kautuliskan padaku.

telah hilangkah ia
atau kau tidak pernah menulisnya
ah, aku tidak bisa tidur dan melupakan
racun keresahan telah membunuh lenaku
sejak kudahagai penawar dalam lautan nota-notamu
kiranya terdampar dalam angin yang ragu
yang tidak mengenal arah tiupannya
angin tanpa sabar yang telah melunturkan
kehijauan dalam keriangan masa kecilku.

Pentafsir, musim telah terlalu tua
kaca jendela menjadi kelabu
dan aku telah terlalu lesu
untuk menari bersama bayang-bayangmu
senja pun semakin larut
lembar-lembar jadi semakin kuning
apakah aku harus mengebumikan buku-buku ini
di samping pusaramu yang sepi.


Hentikan ejekanmu
biar kupecahkan kaca ini
melihat keluar. Lalu mengenal
rumpun-rumpun yang redup
adalah pengakuanmu, Tuhanku!
yang menjernihkan mataku.


(Dipetik daripada Antologi Kerusi,
Dewan Bahasa dan Pustaka, 2004)


(i) Apakah yang dimaksudkan dengan senja pun semakin larut? [ 2 markah ]

(ii) Pada pendapat anda, mengapakah penyajak kehilangan arah tujuan setelah lama hidup?
[ 3 markah ]
(iii) Huraikan dua nilai yang terdapat dalam sajak.
[ 4 markah ]


Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa

[30 markah]

Jawab semua soalan.

(a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan bahawa
anda faham akan maksud dan penggunaanya. Anda tidak boleh menambahkan
imbuhan, menukarkan imbuhan serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa
dan nama khas.

(i) indah – endah
(ii) celik – cekik
(iii) hambar – hampar [6 markah]

(b) Tulis cakap ajuk di bawah ini dalam bentuk cakap pindah.

(i) “Tauke, berapakah harga sejambak bunga ros yang berwarna kuning itu?” Kata ibu kepada Tauke Wong.

(ii) “Kamu semua tidak boleh bising dan bercakap-cakap ketika saya sedang
mengajar,” kata Cikgu Amnah kepada pelajar 5 Al-Ittihad.

(iii) “Silalah datang ke rumah baru saya di Taman Beringin jika awak ada
kelapangan,”kata Aliya kepada Sarah.
[6 markah]

(c) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Makahmah mendapati bahawa keterangan saksi pendakwa adalah tidak mencukupi untuk menyabitkan semua tertuduh.

(ii) Semua ahli jawatan kuasa diharapkan dapat bermain peranan masing-
masing mengikut senarai tugas yang telah diberikan.

(iii) Sebuah pusat snoker telah diserbu dan disita oleh pasukan menguat kuasa
malam semalam kerana disyaki menjalankan kegiatan perjudian atas
maklumat orang awam
[6markah]


(d) Dalam ayat-ayat di bawah terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Sebagai persediaan menghadapi peperiksaan, semua pelajar-pelajar diberikan latihan insentif oleh guru pada hujung minggu.

(ii) Suraya terpaksa memansuhkan rancangan untuk melawat kawannya di
hospital jika hujan turun dengan lebatnya.

(iii)Yuran hendaklah semua penumpang bas bayar sebelum bas itu
memulakan perjalanan.

[6 markah]

(e) Baca peribahasa di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan satu peribahasa yang hampir sama maksud.

(i) Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

(ii) Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

(iii) Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan

[6markah]



Soalan 4 : Novel

[15 markah]

Jawab soalan-soalan di bawah. Jawapan anda hendaklah berdasarkan novel yang telah anda kaji dalam tingkatan 4 dan tingkatan 5.

(i) Terminal Tiga karya Othman Puteh
(ii) Perlumbaan Kedua karya Marwilis Hj. Yusuf
(iii) Di Hadapan Pulau karya A. Samad Said
(iv) Bukit Kepong karya Ismail Johari
(v) Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain
(vi) Seteguh Karang karya Tuan Faridah Syed Abdullah
(vii) Julia karya Abu Hassan Morad
(viii) Putera Gunung Tahan karya Ishak Hj. Muhammad


(a) Nilai tanggungjawab terdapat dalam novel yang telah anda kaji. Buktikan pernyataan tersebut.
[7 markah]

(b) Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, jelaskan persamaan perwatakan watak utama dalam novel tersebut.
[8 markah]



KERTAS SOALAN TAMAT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan