Ahad, 28 Jun 2009

BAHAN PENGAJARAN & PEMBELAJARAN BULAN JULAI

ERTI BAHAGIA SEBUAH SENYUMAN IBU
Ibu, ibu, engkaulah ratu hatiku,
Bila ku berduka, engkau hiburkan selalu,
Ibu, ibu, engkaulah ratu hatiku...

Petikan daripada lirik lagu ”ibu”, nyanyian asal P.Ramlee ini kerap berkumandang suatu ketika dahulu. Mendengarkan lirik sahaja, boleh dibayangkan betapa pentingnya sentuhan kasih seorang ibu terhadap anaknya. Bagi saya, tanpa ibu, belum pasti kebahagiaan dan pencapaian hari ini dapat saya miliki. Hanya ibulah tempat bermanja, bergantung kasih, dan tempat mengadu ketika kita berduka. Tetapi, seandainya seorang ibu berada dalam keadaan berduka, dapatkah penawar dicari bagi menghilangkan rasa dukanya itu? Seperti pendapat orang tua-tua, seorang ibu mampu memberikan kasih sayang dan tunjuk ajar kepada sepuluh orang anaknya. Tetapi mampukah sepuluh orang anaknya itu memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada ibunya itu kelak? Kata-kata inilah yang harus kita berikan perhatian dan diambil iktibar agar segala pengorbanan seorang ibu tidak diabaikan.

Sebagai seorang anak lelaki yang lahir dalam keluarga yang sederhana, saya amat bersyukur kerana mendapat kasih sayang dan tunjuk ajar yang secukupnya daripada kedua-dua ibu bapa saya. Sejak kecil, saya menjadi saksi kepayahan seorang bapa dan ketabahan seorang ibu yang terpaksa bersekang mata dan sanggup menahan lapar dan dahaga demi membesarkan anak-anaknya supaya mendapat kasih sayang dan pendidikan yang sempurna. Dahulu, saya mungkin tidak mengerti sepenuhnya ajaran dan suruhan ibu saya. Menjadi hal biasa semasa kecil, ada masanya patuh kepada arahan, dan ada masanya sempat juga melarikan diri daripada disuruh oleh ibu bapa. Tanpa mengira sesiapapun, perselisihan pendapat pasti akan berlaku antara saya, abang, adik, ibu dan ayah. Termasuklah saya yang pernah dimarahi oleh ibu dengan begitu teruk sekali kerana tidak mahu menghadiri kelas mengaji. Sudah pasti, melentinglah ibu saya yang memang memberikan penekanan dan mengambil berat pembelajaran saya terutamanya ilmu dunia dan ilmu akhirat.

Ketika membesar dan menjadi dewasa, tanpa saya sedari, segala yang dititikberatkan dalam kehidupan saya dahulu telah memberikan perubahan dan pengajaran dalam kehidupan saya hari ini. Sedikit demi sedikit, sehari ke sehari,saya mula menyedari betapa pentingnya tunjuk ajar yang diberikannya selama ini. Semuanya banyak memberikan manfaat yang berguna kepada diri saya. Saya pernah bercita-cita untuk menyara keluarga dengan tulang empat kerat ini jika itulah yang mampu mengurangkan beban ibu bapa saya. Alhamdulillah, dengan rezeki yang dikurniakan oleh-Nya, saya mula berusaha untuk mencapai impian saya. Saya mula mengorak langkah mengejar cita-cita yang saya idamkan dahulu. Saya ingin membalas segala kepayahan dan keperitan ibu bapa saya yang telah saya saksikan sejak kecil dahulu. Tetapi saya sedar segalanya tidak mungkin terbayar dengan nilai jutaan ringgit kerana jasa mereka tidak mungkin dapat dihitung dengan wang ringgit dan tidak dapat diukur dengan hasta.

Jasa ibu tetap di hati saya. Hanya doa, kasih sayang dan perhatian sahaja yang dapat saya berikan untuk mereka. Pada saya, cukuplah sebuah senyuman yang terukir di wajah ibu saya yang menyatakan beliau bahagia dengan kehidupan yang saya kecapi hari ini. Tanpamu ibu, pasti jalan yang terbentang hari ini tidak akan terang untuk saya menitinya. Hanya tuhan sahaja yang dapat membalas jasamu. Insya-Allah saya tetap akan cuba menjadi anak yang baik bagi membahagiakan hati seorang ibu yang sangat saya kasihi. Bersempena sambutan Hari Ibu yang baru berlalu, saya telah mengadakan majlis untuk ibu-ibu. Majlis yang telah diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara baru-baru ini telah mendapat sambutan yang amat meriah. Saya sendiri telah menyambut kedatangan mereka dengan senyuman. Majlis itu telah diserikan lagi dengan nyanyian lagu ”Untukmu Ibu” daripada kumpulan Exist, Siti Nurhaliza menyanyikan lagu ’Ibu’ dan saya sendiri telah menyanyikan beberapa buah lagu popular masa kini. Sempena mengenang jasa ibu yang telah banyak berkorban, saya namakan rumah saya ”Teratak Bonda” sebagai hadiah buat semua ibu di negara tercinta ini.

Melalui cara ini, dapatlah saya menyatakan penghargaan jutaan terima kasih kepada segala pengorbanan dan jasa ibu yang menjaga dan mendidik saya sejak lahir hingga dewasa. Sentiasalah berhubung dan bertanya khabar dengan ibu kita ketika mereka masih hidup. Ibu kita amat merindui kita. Mujurlah teknologi moden yang dicipta pada hari ini boleh menyelesaikan banyak masalah perhubungan apabila kita berjauhan dengan ibu. Telefon, e-mel, sms, mms merupakan antara kaedah untuk bertanya khabar tentang kesihatan ibu di samping menjalankan tanggungjawab kita sebagai anak jika kita tinggal berjauhan. Bantulah ibu dengan melaksanakan tugas-tugas rutin di rumah jika kita tinggal bersama-sama mereka. Mereka semakin tua dan tenaga juga semakin lemah, sudah sampai masanya kita yang mempunyai kekuatan fizikal dan mental pula membantu ibu melaksanakan tugas harian ini. Peluk dan ciumlah ibu kita selagi beliau masih hidup. Ibu, engkaulah ratu di hatiku. Tanpamu, siapalah aku di bumi bertuah ini. Terima kasih, ibu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan